Jenayah hidupan liar meningkat - Utusan Malaysia

Jenayah hidupan liar meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jun – Jenayah hidupan liar di negara ini menunjukkan peningkatan kes setiap tahun sejak 2013 sehingga tahun lalu dengan sejumlah 6,613 kes direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Pada tahun 2013 sebanyak 784 kes jenayah hidupan liar direkodkan, meningkat kepada 1,157 kes pada 2014 seterusnya 1,371 kes pada 2015.

Tahun 2016, kes jenayah hidupan mencatatkan sedikit penurunan kepada 1,329 namun kembali mencatatkan peningkatan sebanyak 1,618 kes pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jenayah hidupan liar tersebut melibatkan kesalahan menyimpan, pencerobohan, pemburuan, perniagaan, zoo dan pameran dengan kes penyeludupan merekodkan jumlah kes tertinggi.

Menurutnya, antara faktor jenayah hidupan liar berlaku adalah ekoran permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara sekali gus membuka ruang terhadap aktiviti pencerobohan kawasan perlindungan hidupan liar, pemburuan haram dan penjualan tidak sah.

“Perhilitan tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket tempatan dengan sindiket antarabangsa di dalam perdagangan hidupan liar ini. Selain rakyat tempatan, kebiasaannya rakyat asing seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam seringkali didapati terlibat dalam jenayah ini.

“Pada mulanya mereka masuk ke dalam hutan untuk mencari gaharu tetapi dalam masa yang sama juga mereka menjerat binatang. Permintaan yang tinggi terhadap gading gajah dan harimau di negara-negara tersebut dilihat menjadi faktor penyebab pemburu haram warga asing ini menjadikan khazanah hidupan liar yang ada di hutan negara sebagai sasaran mereka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelas Abdul Kadir, walaupun Malaysia berdepan dengan ancaman sindiket perdagangan hidupan liar, jenayah tersebut masih lagi dapat dikawal dan belum mencapai tahap serius ekoran inisiatif dan tindakan proaktif Perhilitan.

“Perhilitan sentiasa memantau aktiviti perdagangan hidupan liar tersebut melalui kerjasama antarabangsa seperti dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan ASEAN-Jaringan Penguatkuasaan Hidupan Liar (ASEAN-WEN)

“Dalam masa sama, kerjasama antara agensi penguat kuasa dalam negara juga ditingkatkan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi beberapa operasi bersepadu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN