KETIKA seluruh umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, tiga pelumba negara terpaksa mengetepikan keseronokan Syawal kerana mempunyai misi besar menjelang perlumbaan Le Mans 24 Jam di Perancis hujung minggu ini.
Trio negara yang diketuai Jazeman Jaafar, Nabil Jefri bersama Weiron Tan melakar sejarah tersendiri apabila buat kali pertama beraksi dalam perlumbaan berprestij, Le Mans 24 Jam pada 16 dan 17 Jun ini.
Bagi Jazeman, dia sudah tidak sabar untuk melakar sejarah baharu buat sukan permotoran negara dan tekad untuk memberi yang terbaik serta sedaya upaya menamatkan saingan di kelompok terbaik meskipun terpaksa beraya di atas litar.
Lebih manis trio muda itu buat kali pertama melakar sejarah muncul selaku pasukan pertama yang disertai 100 peratus pemandu negara pada perlumbaan berprestij tersebut.
Mereka akan berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing menggunakan jentera #37 Oreca dalam kelas LMP2.
“Beraksi di Le Mans 24 Jam adalah impian semua pelumba dan ini merupakan cabaran terbesar kami. Sudah pasti, saya tidak sabar untuk turun berlumba dan mahu memberi yang terbaik.
“Pada saingan kali ini, kami sudah mencatat sejarah kerana ketiga-tiga pelumba Malaysia digandingkan dalam satu pasukan. Lebih menarik kali ini kami akan menyambut Syawal di sini dan saya tidak terasa kesunyian kerana seluruh keluarga hadir ke Paris untuk menyaksikan perlumbaan ini.
“Apa pun misi utama kami ke sini adalah untuk mengutip kejayaan. Meskipun bakal beraksi dengan ramai pelumba terkemuka dunia seperti bekas pelumba Formula Satu antaranya Juan Pablo Montoya tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk cuba meraih kedudukan terbaik bagi mengharumkan nama negara,” katanya.
Terdahulu, pada pusingan pembukaan Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) yang berlangsung di Litar Spa Francorchamps di Belgium, awal bulan lalu, trio negara itu berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga dalam kelas LMP2, sekali gus membolehkan mereka menerima jemputan untuk berlumba pada Le Mans 24 Jam.
Sementara itu, Nabil tidak terlalu memikirkan soal Hari Raya Aidilfitri, sebaliknya bertekad untuk tampil cemerlang memandangkan ini kali pertama pasukan negara beraksi sebagai satu pasukan dari Malaysia.
“Ini kali pertama tiga pelumba Malaysia beraksi dalam satu pasukan dan saya yakin gabungan ini mampu memberi kelebihan kepada kami untuk beraksi dengan lebih baik berbanding pasukan lain.
“Meskipun kami masih baharu dalam saingan ini tetapi saya ia tidak melemahkan semangat kami. Setiap individu ada kelebihan masing-masing dan saya yakin ia memberi kelebihan kepada pasukan ini,” ujarnya.










