Jawatankuasa Siasatan Khas selepas raya - Mat Sabu - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Siasatan Khas selepas raya – Mat Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR 16 Jun – Jawatankuasa Siasatan Khas untuk menyiasat salah laku serta penyelewengan yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan sebelum ini hanya akan bermula sebaik sahaja sambutan Aidilfitri berakhir.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, jawatankuasa tersebut telah diluluskan di peringkat Kabinet dan akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pihaknya yakin dengan kewibawaan Ambrin untuk menggalas tanggungjawab yang agak berat itu berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.

“Beliau (Ambrin) merupakan bekas Ketua Audit dan kami yakin beliau mampu membuat kerja-kerja forensik audit dan penyelidikan dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guar Petai, di sini hari ini.

Yang hadir sama beberapa pemimpin di peringkat negeri dan Pusat termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut, kata Mohamad, keanggotaan dalam jawatankuasa itu akan dibentuk dan ditentukan sendiri oleh Ambrin.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Pertahanan juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan jawatankuasa terbabit bagi membantu melancarkan proses siasatan berkenaan.

Tambah beliau, tempoh masa bagi melengkapkan siasatan itu setakat ini bagaimanapun masih belum ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN