Jaringan Mbappe bawa Perancis mara ke pusingan kedua - Utusan Malaysia

Jaringan Mbappe bawa Perancis mara ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Juara 1998, Perancis menjadi pasukan ketiga mengesahkan tempat ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA selepas menewaskan wakil Amerika Selatan, Peru 1-0 pada aksi kedua Kumpulan C di Ekaterinburg Arena, Ekaterinburg, Rusia malam ini.

Kemenangan kedua Perancis ini menyaksikan mereka kekal mendahului kumpulan dengan enam mata, sekali gus mengiringi tuan rumah Rusia dan Uruguay dalam Kumpulan A yang turut mara ke saingan kalah mati tersebut.

Sementara Peru, pasukan ranking ke-11 dunia pula menerima nasib yang sama seperti Mesir, Arab Saudi dan Maghribi apabila tersingkir awal dengan baki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan selepas tumpas 0-1 kepada Denmark pada aksi pertama Ahad lepas.

Turun selaku pasukan pilihan, skuad ‘Les Bleus’ mula mendahului 1-0 pada minit ke-34 babak pertama menerusi jaringan pemain sayap Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe yang menampan masuk bola hasil percubaan Olivier Giroud.

Jaringan ini sekali gus menjadikan Mbappe sebagai pemain Perancis paling muda pernah menjaringkan gol dalam kempen Piala Dunia dengan usia 19 tahun.

Tersentak dengan jaringan itu, Peru cuba bangkit mencari gol penyamaan dengan melancarkan asakan bertali arus, namun gagal menembusi benteng pertahanan Perancis yang dibarisi pemain Real Madrid, Raphael Varane dan pemain Barcelona, Samuel Umtiti.

Sebaliknya, anak buah Didier Deschamps itu berpeluang menambah jaringan pada babak pertama dan kedua, namun percubaan Giroud dan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann berjaya dinafikan penjaga gol Peru.

Babak kedua pula menyaksikan Peru menguasai hampir keseluruhan permainan dengan gerakan-gerakan menarik serta beberapa percubaan berbahaya bagi mencari gol penyamaan.

Namun, kedudukan 1-0 tersebut kekal sehingga tamat 90 minit permainan dan menjamin tempat Perancis ke pusingan 16 pasukan terbaik, sekali gus mencerahkan peluang menjulang gelaran dunia kedua sejak 1998.

Satu lagi slot ke pusingan kedua dalam Kumpulan C pula akan menjadi rebutan di antara Denmark dan Australia selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi terdahulu.

Denmark yang menduduki tangga kedua dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri, memerlukan satu mata sahaja apabila berdepan Perancis, Selasa depan untuk layak.

Manakala Australia yang mengumpul satu mata hasil keputusan seri malam tadi, perlu menewaskan Peru dengan jaringan yang besar bagi mengatasi Denmark sambil berharap pasukan tersebut tewas kepada Perancis. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN