NILAI – Seorang penyelia kilang terpaksa menahan sakit lebih setengah jam apabila jari tengah tangan kirinya tertusuk paku pada papan palet di tempat kerjanya di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, R. Maniam, 58, dikatakan hendak menghalau anjing liar yang masuk ke kawasan kilang dengan membaling papan tersebut tanpa menyedari terdapat paku terlekat pada objek itu.
Mangsa yang kesakitan selepas tertusuk paku sepanjang kira-kira 2.5 sentimeter kemudian segera dibawa ke Klinik Kesihatan Nilai oleh rakan sekerjanya bagi mendapatkan rawatan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairulizal Abu Kasim berkata, panggilan kecemasan diterima daripada pihak klinik pada pukul 8.07 pagi dan seramai tujuh anggota bergegas ke sana.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 8.11 pagi dan menggunakan peralatan khas untuk memecahkan papan sepanjang 0.6 meter tersebut.
“Paku itu berjaya dikeluarkan daripada jari tangan mangsa kira-kira 10 minit kemudian dan mangsa diserahkan kepada pihak klinik untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE







