KUANTAN – Kematian banduan M.Mariappan di Penjara Bentong, dekat sini pada Rabu lalu, disahkan akibat cirit-birit kerana jangkitan kuman pada usus perut atau severe acute gastroenteritis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, mendiang disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Mempaga, Bentong semasa dibawa untuk menerima rawatan pada pukul 12.40 pagi, 6 Jun lalu.
Mariappan, 24, yang berasal dari Jerantut dipenjarakan pada 18 April lalu kerana kesalahan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dibebaskan pada tahun hadapan.
“Berdasarkan laporan pihak penjara, mendiang dikatakan mengalami sakit perut dan telah menerima rawatan di klinik penjara pada 5 Jun lalu, namun mengadu masih berasa sakit.
“Pada 6 Jun lalu, mendiang mengalami sesak nafas menyebabkan dia dibawa ke Klinik kesihatan Mempaga untuk rawatan, namun meninggal dunia di situ dan mayatnya dihantar ke unit forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya. – Bernama










