KEHIDUPAN sering dikaitkan dengan pilihan (life is about choice). Setiap individu mempunyai cita rasa tersendiri dalam membuat pilihan. Daripada memilih untuk memenuhi kepuasan sendiri sehinggalah kepada kepuasan untuk mengisi keperluan atau kepentingan kehidupan bermasyarakat, berpolitik dan bernegara.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang baru berlalu menterjemahkan pilihan majoriti rakyat Malaysia terhadap gabungan parti yang mereka mahu menyerah mandat membentuk kerajaan. Jangan persoal lagi tentang pilihan itu sama ada dibuat secara jujur, rasional atau terdorong oleh sebarang sentimen. Apa lagi jika mahu dikaitkan dengan istilah kesal atau ‘luar jangkaan’.
Proses pungutan suara menerusi sistem demokrasi berparlimen itu telah selesai. Keputusannya muktamad. Namun, silap jika ada mana-mana pihak yang berkepentingan cuba menyimpul andaian (taking for granted) bahawa pilihan melalui peti undi itu bersekali dengan kesediaan umat Islam atau orang Melayu ‘menggadai kompromi’ untuk dirobek atau ‘diganggu’ hak-hak keistimewaan mereka sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah tidak sabar menyerlahkan sikap sebenar mereka untuk ‘mempersoal’ struktur asas Perlembagaan Persekutuan ternyata tidak disenangi orang Melayu di negara ini. Suatu tindakan bijak jika pihak berwajib mengambil pendekatan serius membendung menularnya kecenderungan ini.
Sebaliknya, membiarkan trend ini ‘hangat di pasaran’ hanya boleh mengundang kesan buruk, terutama dalam aspek perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum serta anutan agama di negara ini. Kedudukan Islam, hak-hak keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali boleh dianggap sistem lapuk atau ketinggalan, sebaliknya perlu diterima sebagai sesuatu yang terpasak teguh merentasi setiap zaman.
Kenyataannya, rakyat Malaysia sudah membuat pemilihan. Landskap politik negara sudah berubah. Kuasa politik sudah beralih tangan. Tentunya, apa diharapkan ketika ini adalah perubahan. Maksudnya, berubah ke arah yang lebih baik, lebih menarik dan lebih meyakinkan. Secara umumnya, perubahan sentiasa diiringi harapan baharu yang boleh ditemui kepuasan sebenar yang dicari.
Tidak dinamakan ‘baharu’ jika sekadar ‘mengiakan’ segala kebaikan lama. Sebaliknya, ‘pembaharuan’ perlu diterjemahkan dengan sesuatu yang lebih segar, mantap, rapi serta rangka perancangan dan tindakan yang pragmatik dan menyeluruh.
Hanya apa yang penting, perubahan tidak semestinya merubah segala ‘tunjang’ dan acuan yang menjadi landasan kehidupan masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk sejak sekian lama. Rakyat Malaysia pelbagai kaum, berlainan keturunan dan latar belakang agama dan budaya perlu menerima hakikat bahawa, sejak berpuluh dekad lalu, dapat hidup aman, makmur, harmoni dan bersatu padu.
Suasana demikian perlu dipelihara, dihargai dan dikekalkan. Kemajuan dari aspek ekonomi semata-mata tidak menghadirkan makna sebenar bagi sebuah kehidupan yang diistilahkan sebagai maju dan membangun. Juga, tiada makna bagi kemajuan jika hanya ‘dendam politik’ menelusuri pola kehidupan baik dalam konteks bermasyarakat dan urus tadbir kerajaan.
Tidak mungkin wujud persefahaman dan nilai perpaduan sebenar jika ada di kalangan masyarakat khususnya umat Islam dan orang Melayu di negara ini merasakan ‘privasi’ mereka terganggu, baik dari segi hak dan kedaulatan, keistimewaan serta jaminan masa depan. Tidak semua umat Islam dan orang Melayu di negara ini ‘mabuk politik’ sehingga sanggup mengabaikan kesucian agama dan kepentingan bangsa sendiri.
Tokoh-tokoh agama, pejuang bangsa, para cendekiawan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang patriotik, tentu saja mudah bangkit menzahirkan rasa kurang senang terhadap sebarang kenyataan dan tindakan mana-mana pihak yang ‘kurang peka’ dengan nilai kerukunan yang dianuti dan dinikmati sejak sekian lama. Dalam hubungan ini, Rukun Negara tidak pernah lapuk untuk dijadikan asas rujukan.
Jauh untuk dibuktikan kepada umum ketika ini adalah keupayaan dan kebaikan sebenar gagasan pentadbiran baharu negara. Rakyat akan bertambah yakin dan tersenyum lebar jika dapat melihat perubahan baharu ini lebih melegakan kehidupan baik dari segi berkurangnya bebanan kos sara hidup, bertambahnya peluang pekerjaan, meningkatnya insentif dan bantuan input dalam pelbagai sektor serta suasana umumnya yang lebih kondusif, selamat dan kurang berpolitiking.
Dunia akan lebih menghormati Malaysia jika dilihatnya suasana politik di sini lebih stabil dan kehidupan sosial yang sentiasa harmoni. Suasana begini bukan hanya dapat mengukuhkan keyakinan pelabur yang sedia ada, tetapi dapat menggamit lebih banyak pelabur datang melabur di negara ini.
Rakyat mengimpikan sebuah Malaysia baharu yang lebih maju dan bersatu!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik.










