“BERI aku 1000 orang tua, akan aku cabut Semeru dari akarnya. Beri aku 10 orang pemuda, akan aku goncangkan dunia.”
Demikian kata-kata hikmat yang pernah diucapkan Presiden Indonesia, Sukarno dalam salah satu pidatonya suatu ketika dahulu.
Hari ini di negara kita yang tercinta, kata-kata ini seakan-akan menghantui ahli-ahli akar umbi UMNO untuk mengembalikan kekuatan parti orang Melayu itu sebagai wadah memperjuangkan kepentingan mereka.
Lapisan akar umbi dalam kalangan orang muda menjerit inginkan perubahan sikap dalam kalangan pemimpin mereka. Perubahan wajib dilakukan tanpa kompromi.
Tuduhan bekas pemimpin UMNO yang menuduh parti berusia 62 tahun itu telah rosak semata-mata emosi kerana barisan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO masih rasional dan komited untuk melakukan perubahan di tampuk kepimpinan sayap Pemuda UMNO Malaysia.
Justeru Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Fariz Hadi, nekad menawarkan diri menjadi calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Tekad beliau untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang lebih berintegriti bukan dengan karisma sebagai anak seorang jutawan mahupun pemimpin tertinggi kerajaan.
Karisma beliau terserlah dengan keberanian ‘bertempur’ secara berdepan dengan tokoh-tokoh Kerajaan Pakatan Harapan dalam program-program parti tersebut sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Fariz adalah suara orang muda yang petah mempersoalkan setiap tuduhan mana-mana pihak terhadap dasar kerajaan Barisan Nasional (BN). Ketrampilan beliau bukan sahaja mendapat lampu sorot media perdana malahan kehadiran beliau di program bual bicara pemimpin Pakatan Harapan kadang-kala mengundang fitnah tanpa kawalan.
Masih ingatkah lagi peristiwa baling kerusi di Shah Alam semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan daripada tetamu yang hadir. Fariz bukan sahaja difitnah sebagai pencetus kekecohan oleh pihak tertentu hingga beliau terpaksa membuat laporan polis.
Pemuda kacak dari Seksyen 7, Shah Alam itu berkata, UMNO perlu menghentikan budaya cai atau memilih calon dalam kalangan kelompok pemimpin tertinggi sayap parti.
Budaya cai ini akan menyebabkan solidariti parti akan berkecai kerana pemimpin berbakat lain ‘dimatikan’ begitu sahaja perjalanan politik mereka.
Kelompok ini yang menyeberang ke lain-lain parti yang sinonim sebagai penentang UMNO. Tidakkah pemimpin atasan sedar mereka telah ditolak secara halus apabila PRU-14 baru-baru ini calon cai mereka kalah kepada pemimpin Pakatan Harapan?
Berilah peluang pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO kali ini tanpa cai dan politik wang. Budaya cash is king perlu diketepikan jika benar ahli cintakan UMNO.
Wujudkan suasana pemilihan yang lebih terbuka dan telus. Setiap pemimpin mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri. UMNO masih boleh dipulihkan kerana rakyat Malaysia telah memilih 52 calon Parlimen dari UMNO untuk membawa suara rakyat. Cuma UMNO hilang banyak kerusi Parlimen termasuk komponen dalam BN. Berubah sahaja sebelum diubah secara total.
Fariz menegaskan beliau menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan tema yang akan diterapkan sebagai teras perjuangan beliau jika terpilih kelak iaitu berakal, beriman dan berani.
Berakal bermaksud Pemuda UMNO akan berjuang dengan berilmu dan berfakta. Beriman ertinya pemimpin pelapis perlu berjuang kerana Allah SWT. Maka dengan adanya ilmu dan iman sudah pasti perjuangan akan lebih berintegriti tanpa rasuah dan ketirisan dan kerakusan dalam mengekalkan kuasa.
Bila niat sudah betul maka akidah lebih kukuh untuk memperjuangkan Islam sebagai agama atau addin orang Melayu di negara ini.
Sewajarnya niat murni calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini difahami. Beliau inginkan ahli UMNO kembali kepada perjuangan berasaskan kesedaran memperkasa agenda bumiputera yang semakin meragukan hala tujunya di bawah kerajaan baru hari ini.
Pesanan khas dititipkan oleh Fariz Hadi, pilihlah calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang tidak merupakan cai sesiapa, yang tidak menyogok wang untuk undi dan paling penting berakal, beriman dan berani. UMNO tolonglah berubah.










