ROME – Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini kelmarin mengarahkan sebuah badan amal supaya menghentikan bantuan menyelamat imigran ketika laporan mengatakan terdapat 1,000 orang berada di dalam bot-bot muatan padat di perairan Mediterranean.
Itali yang sebelum ini menjadi antara barisan hadapan menangani krisis migrasi di Eropah, telah berikrar dengan pendirian yang tegas, kata Salvini kepada kumpulan bantuan kemanusiaan supaya berundur dan membiarkan pengawal perairan Libya menguruskan operasi menyelamat.
“Biarkan pihak berkuasa Libya melakukan kerja menyelamat, pemulihan dan pengembalian (pendatang) ke negara mereka, seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini.
“Pelabuhan Itali sedang dan akan ditutup kepada mereka yang membantu pemerdagangan manusia,” katanya.
Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sepanyol, Proactiva Open Arms berkata, pihaknya telah menerima tujuh atau lapan mesej yang memberitahu mereka tentang bot-bot penuh sesak di perairan Mediterranean kelmarin.
“Jika digabungkan mesej tersebut menjadikan jumlahnya bertambah sehingga 1,000 orang,” kata jurucakap kumpulan itu, Laura Lanuza kepada agensi berita AFP berhampiran pantai di Libya.
Bagaimanapun katanya, pengawal pantai Itali memberitahu bahawa kumpulan mereka tidak diperlukan dan operasi itu akan diuruskan oleh pengawal pantai Libya.
“Jika pengawal pantai Libya menyelaraskan usaha ini, kesemua mereka akan dihantar semula ke Libya,” katanya.
Lewat kelmarin, Salvini memuat naik status di Twitter bahawa pengawal pantai Libya telah menyelamatkan 820 pendatang dan sekali lagi menyasarkan kepada kapal-kapal NGO.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih, sebagai seorang menteri dan bapa, kepada pihak berkuasa dan pengawal pantai Libya.
“Hari ini mereka menyelamat dan membawa kembali 820 orang pendatang ke Libya, menjadikan usaha individu yang memperdagang manusia menjadi sia-sia,” katanya. – AFP











