Isu Pulau Batu Puteh: Khaled bidas Osman - Utusan Malaysia

Isu Pulau Batu Puteh: Khaled bidas Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 3 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas dakwaan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang menyalahkan kerajaan BN atas kehilangan isu tuntutan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Bekas Menteri Besar itu menegaskan, kesalahan tersebut tidak ada kena mengena dan BN tidak boleh dipersalahkan kerana perkara tersebut sudah pun melalui proses perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau berkata, pulau tersebut sudah diputuskan milik Singapura oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sejak sebelum merdeka lagi iaitu sebelum BN wujud.

“Jadi dekat mana salah BN, masa itu (semasa Setiausaha Kerajaan Negeri Johor putuskan pulau itu milik Singapura) masih tidak wujud BN.

“(Bagaimanapun isu itu kemudian) dibawa untuk persediaan perbicaraan (di ICJ) dan pada masa itu Peguam Negara adalah Tan Sri Ghani Patail yang mewakili Malaysia (yang berusaha untuk mendapatkan semula pulau itu), jadi kat mana salah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Seri Makmur dan Penyampaian Bantuan Asnaf di balai raya kampung tersebut di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Osman dalam sebuah portal semalam yang menggesa rakyat tidak menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas kehilangan pulau itu kepada Singapura kerana berpunca daripada kecuaian kerajaan pimpinan BN.

Menurut Osman, pihak yang melepaskan pulau tersebut sehingga Malaysia kalah di ICJ adalah disebabkan kerajaan terdahulu dan kini BN Johor mahukan pendirian kerajaan PH pula serta menyifatkan Mohamed Khaled ‘pusing cerita’ dalam hal itu.

Mohamed Khaled dalam satu kenyataan kelmarin membidas kerajaan negeri yang baharu dan menggesanya untuk bersuara dan menyatakan pendirian berhubung isu Pulau Batu Puteh selain Osman harus memainkan peranan dalam perkara tersebut demi keadilan untuk negeri ini.

Selain itu Mohamed Khaled juga menyelar kerajaan negeri yang baharu pimpinan PH kerana bersikap seolah-olah lepas tangan dalam isu tuntutan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Beliau menegaskan, kerajaan PH negeri sepatutnya mendesak dan mempengaruhi kerajaan Persekutuan untuk meneruskan tuntutan ke atas pulau berkenaan kerana peluang dan tarikh untuk berbuat demikian masa ada sehingga hujung bulan ini.

“Kita mempunyai tiga bukti baharu sebagai asas kukuh untuk menuntut semula Pulau Batu Puteh, ini boleh dijadikan asas kukuh dalam tuntutan,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN