Inflasi pada Mei dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Inflasi pada Mei dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei dijangka meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.4 peratus pada April, terutama disebabkan kenaikan harga bahan api runcit yang lebih pantas, kata RAM Rating Services Bhd..

Peningkatan inflasi bahan api runcit sebanyak 5.1 peratus pada Mei berbanding penguncupan 0.3 peratus pada April, sebahagian besarnya disebabkan kesan asas yang rendah.

Pada Mei 2017, purata harga bahan api RON95 jauh lebih rendah pada RM2.09 seliter, turun daripada RM2.21 seliter pada April 2017.

Bagaimanapun, pada Mei harga RON95 kekal tidak berubah pada RM2.20 seliter sejak Mac lalu dan dijangka kekal pada paras ini berikutan pengenalan semula subsidi.

“Oleh sebab itu, tekanan inflasi daripada komponen bahan api runcit juga dijangka meningkat pada Jun dan Julai apabila kesan asas yang rendah dari tahun lalu meningkat,” kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penyelidikan, Kristina Fong berkata, ketidakpastian kekal pada keseluruhan prospek inflasi bagi 2018 ketika lebih banyak langkah dasar diperkenalkan oleh pentadbiran baharu dengan perubahan sistem cukai daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang paling relevan bagi anggaran tahun penuh.

Beliau berkata, walaupun langkah mengenakan GST pada kadar sifar yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu dijangka dapat mengurangkan tekanan inflasi keseluruhan, pengenalan semula SST mungkin sedikit sebanyak, mengimbangi kesan deflasi daripada GST.

Ini tertakluk kepada kadar cukai dan liputan akhir apabila rejim SST dilaksana pada September depan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN