DARO 3 Jun – Bulan Ramadan membawa limpahan rezeki kepada golongan nelayan di sini apabila mereka memperoleh hasil tangkapan ikan lumek yang banyak.
Seorang nelayan tempatan, Abdul Malik Sulaiman, 34, berkata, mereka bagaikan berpesta menangkap ikan lumek sejak dua minggu lalu.
“Kedatangan Ramadan kali ini memberi rezeki kepada kami nelayan Muara Rajang terutama di kawasan utara Pulau Bruit.
“Musim ikan lumek di sini bermula selepas berakhirnya musim tengkujuh pada bulan Februari sehinggalah pertengahan tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, ikan lumek mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan mampu mencecah harga RM25 hingga RM30 sekilogram jika dijual tanpa melalui orang tengah.
“Pendapatan nelayan dijangka terus meningkat memandangkan keadaan cuaca yang semakin baik dan dijangka berterusan hingga Julai depan.
“Bukan setakat lumek, ikan lain juga banyak ketika ini. Sudah pasti, kami gembira dan bersyukur,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Pulau Bruit cukup sinonim dengan pengeluaran ikan lumek yang sememangnya mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
“Bagaimanapun, ikan ini perlu melalui beberapa proses termasuk disalai terlebih dahulu bagi mengekalkan keasliannya.
“Proses menyalai ikan ini mengambil masa kira-kira empat hingga enam jam bergantung kepada keadaan cuaca,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










