Idris Haron sangkal dakwaan guna pengaruh wang raih sokongan - Utusan Malaysia

Idris Haron sangkal dakwaan guna pengaruh wang raih sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron menafikan beliau mengguna ‘pengaruh wang’ untuk meraih sokongan perwakilan pada pemilihan UMNO bahagian 30 Jun ini seperti didakwa anggota jawatankuasa bahagian itu.

Katanya, usaha mendapatkan peruntukan RM1,000 sebulan dan seekor lembu setahun kepada cawangan dalam bahagian itu telah dilaksana beliau sejak tahun 2014 bagi memastikan setiap cawangan dapat melaksanakan program melibatkan anggota parti dan rakyat setiap bulan tanpa gagal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berkata, sebagai manifesto sekiranya beliau diberikan mandat untuk terus meneraju kepimpinan di Bahagian Tangga Batu bagi sesi 2018-2021, usaha itu akan diteruskan demi kepentingan parti serta rakyat kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Manifesto saya telah diputarbelitkan sedangkan ia telah dilaksanakan sejak dulu lagi tanpa gagal dan ia dinikmati semua golongan tanpa mengira fahaman politik sejak saya menjadi ketua bahagian dan anggota Parlimen (Tangga Batu). Ia bukan untuk meraih undi atau sokongan perwakilan dalam merebut jawatan yang dipertandingkan.

“Manifesto berkenaan bukan saya yang sebarkan seperti didakwa Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, sepatutnya sebelum sesuatu dakwaan berkenaan dilemparkan ia perlu disemak fakta dan kesahihanya,” kata bekas ketua menteri Melaka itu kepada Bernama di kediamannya di sini hari ini.

Bernama hari ini melaporkan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bersama sebahagian anggota jawatankuasa UMNO bahagian itu memohon kepimpinan tertinggi UMNO pusat membatalkan kelayakan Idris untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian itu kerana didakwa menggunakan ‘pengaruh wang’ bagi meraih sokongan perwakilan. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini