GOMBAK – Polis sudah mengenal pasti identiti penumpang terakhir yang menggunakan khidmat pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui maut di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Makmur, Gombak pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng berkata, maklumat itu diperolehi daripada pihak Grab bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Berdasarkan maklumat diterima, kami dimaklumkan penumpang terakhir yang menggunakan khidmat kereta mangsa adalah seorang lelaki warga asing.
“Usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kong Seng berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.
“Walaupun terdapat kesan melecet dipercayai dijerut pada leher mangsa, namun punca kematiannya disebabkan sesak nafas dipercayai ditekup menggunakan baju miliknya.
“Pemeriksaan lanjut pada kereta Perodua Myvi milik mangsa mendapati dompet serta satu telefon bimbit miliknya hilang,” ujarnya yang memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pemandu Grab yang ditemui mati di dalam dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan kawasan perumahan Taman Selayang Baru di sini Sabtu lalu.
Mangsa Aiman Nosri, 27, ditemui pada pukul 8.20 malam dalam keadaan terlangkup di tempat duduk penumpang belakang dalam kereta jenis Perodua Myvi. – K! ONLINE










