Ibu tunggal 8 anak rayu bantuan - Utusan Malaysia

Ibu tunggal 8 anak rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 3 Jun – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan kesukaran hidup yang terpaksa dilalui seorang ibu tunggal, Sarina Musa, 46, yang mempunyai lapan anak.

Lebih memilukan menjelang beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, suami tercinta, Hashim Latib, 47, meninggal dunia akibat uzur dan sakit Sabtu lepas.

Sejak April lalu Allahyarham suaminya sudah tidak mampu bekerja kerana mengalami sakit dan terlantar di rumah hingga memaksa Sarina memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Pemergian suaminya Sabtu lalu membuatkan ibu tunggal itu merasa terhimpit ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri sambil dia mengenangkan nasib anak-anaknya menyambut kedatangan 1 Syawal itu nanti.

Kata Sarina, dia kini buntu mengenangkan nasib mereka lapan beranak yang enam daripada anaknya masih bersekolah,

“Saya tidak mampu menyedia­kan juadah hari raya mahupun membeli pakaian baharu untuk anak-anak. Rasanya mereka cukup faham kesulitan yang sedang kami hadapi.

“Cukuplah apa yang ada kerana elaun sebanyak RM1,200 milik suami sebagai bekas Anggota Jabatan Angkatan Pertahanan Awam (APM) perlu diagihkan untuk menampung perbelanjaan harian dan sekolah anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampong Parit Haji Amin, Simpang Lima dekat sini.

Tambah Sarina, enam anak­nya masih dibangku sekolah termasuk anak sulungnya Nur Syamimi, 22, yang belajar dalam semester tiga di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di Gombak manakala anak ketiganya, Nur Hanani, 18, baharu mendaftar di program matrikulasi di Gopeng, 23 Mei lalu.

Tambah beliau, selain elaun arwah suaminya, mereka sekeluarga juga bergantung kepada pendapatan anak keduanya, Nur Najihah, 21, yang terpaksa me­ngorbankan masa depannya de­ngan bekerja kilang di kawasan berdekatan.

Sarina berkata, jika dahulu suaminya akan bekerja keras bagi menyediakan segala keperluan mereka sekeluarga, namun selepas pemergiannya dia sema­kin terhimpit memikirkan nasib anak-anak yang berusia antara tujuh hingga 22 tahun yang perlu disara persekolahan dan keperluan mereka.

“Arwah sentiasa berpesan walau apa sekalipun terjadi, anak-anak kena belajar supaya mereka berjaya dalam pelajaran masing masing demi masa depan mereka. Kami orang susah dan tak ada harta benda untuk ditinggalkan kepada mereka kelak.

“Pemergian suami benar-benar kami rasai. Kami anak ber­anak hilang tempat bergantung. Kini saya serahkan nasib kami lapan beranak pada Allah. Semoga ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08995-29-00042810-8 atas nama anak sulungnya, Nur Syamimi Hashim atau terus ke rumah mereka di No.682 Kampong Parit Haji Amin, Simpang Lima, Parit Buntar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN