SABAK BERNAM – Seorang ibu beranak enam berusia 39 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun antara 16 individu yang diberkas dalam Ops Perdana Khas di Bagan Sungai Besar, di sini semalam.
Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabak Bernam, Zulazli Hashimuddin berkata, operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi lain itu tertumpu di dua kawasan sasaran iaitu Bagan Sungai Burong dan Bagan Sungai Besar.
Katanya, operasi tersebut bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang.
“Dalam operasi ini, kita berjaya memberkas seramai 16 penagih dadah berusia antara 16 hingga 39 tahun terdiri daripada 14 lelaki dan 2 wanita.
“Hasil uji air kencing, kesemua mereka didapati positif dadah jenis opiat,” katanya.
Menurut Zulazli, seramai empat orang suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut kerana disyaki memiliki dadah.
“10 suspek lelaki ditahan reman selama 10 hari mulai hari ini di bawah Sekyen 3(1) Akta Penagih Dadah manakala dua suspek wanita pula dikenakan jaminan pegawai,” katanya.
Zulazli berkata, dalam operasi tersebut pihaknya turut memusnahkan pondok yang digunakan suspek untuk melepaskan gian menghisap dadah.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan operasi seperti ini dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan daerah ini bebas daripada kegiatan penyalahgunaan najis dadah ini,” katanya. – K! ONLINE











