Hutang dikurangkan – PM - Utusan Malaysia

Hutang dikurangkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Kerajaan menaruh harapan pengurangan besar jum­lah hutang negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, kerajaannya telah membatalkan banyak projek yang menelan kos tinggi yang menyumbang kepada keseluruhan pengurangan hutang itu.

“Usaha mengurangkan hutang adalah satu tugas yang sukar, tetapi kami telah membatalkan ba­nyak projek yang melibatkan kos tinggi,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan Amerika Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, usaha kerajaan menambah baik keadaan kewangan dan ekonomi negara itu tidak diterima dengan positif oleh pelabur asing yang membawa kepada pengaliran keluar modal.

“Kadang-kadang, saya rasakan pasaran lebih suka dibohongi betapa bagusnya kami daripada mengetahui tentang kebenaran,” katanya.

Perdana Menteri menekankan tentang dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan serta perlunya ada kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta.

“Kita mahu bekerjasama rapat dengan sektor swasta, yang bermakna, sudah tentunya, kita boleh memanfaatkannya,” katanya.

Dr. Mahathir juga berkata, kerajaan terbuka untuk menerima idea dan komen membina daripada sektor swasta bagi membantu menambah baik proses penyampaian perkhidmatan sektor awam.

“Saya beri jaminan bahawa apabila dikritik atau diberi tahu yang kami melakukan suatu yang salah, kami akan melakukan yang terbaik untuk membetulkannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan pertumbuhan sektor swasta yang merupakan enjin pertumbuhan negara.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan dengan sendiri tidak boleh menjana kekayaan, tetapi sekiranya diperkayakan menerusi pengumpulan cukai daripada masyarakat yang sangat makmur, maka negara akan menjadi lebih baik.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu menggalakkan pelaburan langsung asing bagi industri teknologi tinggi bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan lepasan ijazah.

Menurutnya, Malaysia adalah lokasi pelaburan yang baik dengan tenaga kerja mahir untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti.

“Kita boleh melatih rakyat Malaysia menghasilkan produk berkualiti tinggi yang boleh di­terima pasaran dunia. Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menambah baik produktiviti di negara ini dan bukan hanya menumpukan semata-mata kepada meningkatkan paras pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan tinggi sahaja tidak membantu rakyat kerana apabila anda memiliki pendapatan tinggi dan harga segala-galanya meningkat, kuasa beli akan tetap sama.

“Bagi rakyat untuk merasai manfaat pendapatan tinggi, adalah menerusi peningkatan produktiviti, yang membolehkan kos pengeluaran kekal rendah. Ini boleh dicapai menerusi beberapa langkah, antara lainnya, latihan yang lebih baik, pengurusan yang lebih cekap dan automasi,” kata Dr. Mahathir.

Mengenai pekerja asing, beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang mengkaji untuk merangka dasar yang lebih baik bagi mereka.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menggalakkan orang asing yang pintar dan mempunyai kemahiran untuk datang dan tinggal di Malaysia dan mereka juga boleh memohon kerakyatan Malaysia.

Dr. Mahathir berkata, sebelum ini, dasar kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada orang asing.

“Sekarang, sekiranya orang ­asing datang dengan memiliki kemahiran tertentu yang kita perlukan, mereka akan dipelawa untuk tinggal di negara ini dan malahan menjadi warga negara sekiranya mereka mahu,” katanya.

Mengenai Koridor Raya Multi­media (MSC), beliau berkata, kerajaan akan berusaha untuk memulihkannya kerana ia telah menyimpang daripada objektif asalnya.– BERNAMA

“Kita mewujudkan Cyberjaya untuk menumpukan kepada teknologi tinggi, industri elektronik dan teknologi maklumat di sana, namun ia telah menjadi hanya satu lagi bandar dengan pembangunan perumahan yang biasa,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, dengan dasar bagi MSC kembali kepada objektif awalnya, lebih banyak syarikat dijangka memindahkan kilang mereka dan makmal penyelidikan di sana.

“Ini akan membolehkan koridor itu kembali rancak sekali lagi seiring dengan namanya. Kita akan sediakan sebanyak mungkin prasarana bagi menarik sekali lagi pelabur ke Cyberjaya terutama dan ke koridor itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN