Himpunan keluarga besar Tengku Mansor di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Himpunan keluarga besar Tengku Mansor di Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 18 Jun – Aidilfitri selalunya mengingatkan bukan sahaja soal kesyukuran tetapi nilai kasih sayang serta hubungan persaudaraan.

Kedua-duanya akan memberikan lebih makna tentang sambutan perayaan itu untuk diraikan dalam suasana penuh kegembiraan.

Suasana itulah yang cuba disuburkan berterusan oleh ahli keluarga Tengku Mansor Engku Jusoh dengan menjayakan program tradisi dwitahunan sambutan Aidilfitri yang mempertemukan sebahagian besar waris arwah.

Hampir 200 ahli keluarga keturunan arwah Tengku Mansor dari seluruh negara berkumpul dalam majlis kali ke-13 di Dewan Taman Sinar Harapan, Bukit Besar di sini kelmarin.

Arwah Tengku Mansor bersama keluarga Setiu menetap di Kampung Baru Penarik Setiu kurun ke-19.

Pengerusi penganjur, Dr Tengku Khairi A Rahman berkata, kali pertama himpunan keluarga Tengku Mansor diadakan pada tahun 1994 di Penarik.

“Untuk menganjurkan program sebegini mengambil masa sebulan termasuk mendapatkan persetujuan seluruh anggota keluarga, mengatur penginapan di rumah saudara mara dan menggerakkan aktiviti.

“Program ini diadakan dengan matlamat utama untuk mengeratkan perhubungan silaturahim kalangan keluarga yang terus berkembang,” ujar beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Kataya, dalam setiap program, kutipan sumbangan antara keluarga dilakukan bagi membolehkan majlis melibatkan peranan semua.

“Konsep Potluck diamalkan bagi penyediaan juadah bersama,” ujar beliau.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis termasuklah pemberian sumbangan raya kepada anak-anak istimewa Taman Sinar Harapan.

Selain ramah mesra perkenalan keluarga baru dan tahlil, suasana dimeriahkan lagi dengan kuiz Salsilah keluarga Tengku Mansor, silang kata Aidilfitri dan mewarna untuk kanak-kanak.

Dalam ucapan penutup, penaung program, Datuk Dr.Tengku Mahmud Tengku Mansor yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri menasihatkan anggota keluarga agar terus menghidupkan tradisi ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN