Henti spekulasi bekas Perdana Menteri melarikan diri - Utusan Malaysia

Henti spekulasi bekas Perdana Menteri melarikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 18 Jun – Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi ko­nonnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ingin melarikan diri ke luar negara melalui pulau peranginan, Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zai­nal Abidin Kasim berkata, pihak­nya bimbang dengan penyebaran berita tidak benar tersebut kerana ia memberi gambaran tidak baik terhadap bekas pemimpin nombor satu negara itu.

Menurut beliau, Najib bercuti bersama ahli keluarga dan diiringi beberapa pegawainya ke Langkawi sambil beriadah serta bermain golf selain mengambil kesempatan berjumpa dengan pemimpin UMNO termasuk bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Tidak ada langsung unsur melarikan diri. Dia nak lari buat apa, dia belum bersalah lagi dan tidak ada sebarang pertuduhan terhadap beliau.

“Hentikan spekulasi, tidak perlu buat semua ini, tidak manislah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, dakwaan Najib dan Rosmah mahu melarikan diri melalui Langkawi ke Myan­mar sebelum ke China dan seterusnya ke Almaty, Kazakhstan menjadi tular dalam media sosial susulan mereka dilihat membawa 30 beg.

Seorang pemilik akaun Facebook dalam statusnya meminta polis memantau pergerakan Najib yang didakwa khuatir akan me­larikan diri ke luar negara.

Zainal Abidin berkata, kesemua 30 beg pakaian yang didakwa dibawa oleh Najib dan Rosmah itu bukannya semua milik pasangan tersebut sebaliknya milik ahli keluarganya dan pegawai khas yang menyertai percutian berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu dan isterinya dilaporkan berkunjung ke Langkawi dekat sini untuk bercuti.

Najib dan Rosmah dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) diiringi kira-kira 13 ahli keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN