Hazard buka laluan Belgium, Lukaku tambah 'luka' Tunisia - Utusan Malaysia

Hazard buka laluan Belgium, Lukaku tambah ‘luka’ Tunisia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Dua bintang kelab Liga Perdana England, Eden hazard dan Romelu Lukaku membawa Belgium semakin menghampiri pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA selepas membelasah Tunisia 5-2 pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Spartak, Mocow, Rusia sebentar tadi.

Pasukan No. 3 dunia itu memerlukan kemenangan pada pertemuan ini bagi memudahkan laluan mereka ke pusingan kalah mati tersebut selepas menang 3-0 ke atas Panama pada aksi pertama kumpulan.

Mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk melakukannya apabila mula mendahului seawal minit ke-5 hasil jaringan penalti perancang Chelsea, Hazard selepas kapten pasukan itu dijatuhkan dalam kotak penalti.

Penyerang Manchester United, Lukaku kemudian menambah gol kedua 10 minit kemudian, sekali gus menambah derita pasukan No. 21 dunia, Tunisa yang memburu kemenangan pertama selepas tewas 1-2 kepada England.

Tunisia yang kali terakhir membuat penampilan pada edisi 2006 di Jerman, cuba bangkit merapatkan jurang kepada 2-1 tiga minit kemudian menerusi tandukan Dylan Bronn hasil sepakan percuma di kanan pintu gol Belgium.

Kedua-dua pasukan selepas itu menyajikan aksi yang menghiburkan dengan saling serang menyerang antara satu sama lain serta corak permainan yang pantas dan hantaran yang tepat.

Belgium lebih banyak menguasai permainan dengan serangan yang hampir-hampir menambah gol ketiga, namun penjaga gol Tunisia berjaya menghalang setiap percubaan berbahaya tersebut.

Namun, Tunisia juga tidak kurang hebatnya apabila tampil dengan aksi yang serupa ketika hampir mengikat England sebelum tewas tipis tempoh hari.

Mereka jelas tidak gentar dengan reputasi Belgium dan acap kali juga melancarkan serangan balas kilat sehingga memaksa penjaga gol Belgium, Thibout Courtois bekerja keras.

Lukaku kemudian sekali lagi meletakkan Belgium di depan apabila berjaya meloloskan diri sebelum merembat masuk bola ke gawang Tunisia pada minit kecederaan babak pertama.

Ketinggalan 1-3, Tunisia tidak mudah mengalah apabila tetap melancarkan serangan pada babak kedua untuk mencari gol bagi merepatkan defisit gol.

Beberapa percubaan mereka hampir membuahkan hasil, namun penyudah yang tumpul menjadi halangan buat mereka.

Sebaliknya, Belgium terus berpesta gol apabila Hazard sekali lagi bijak melepasi perangkap ofsaid dan dengan mudah menewaskan penjaga gol Tunisia bagi menjarakkan kedudukan kepada 4-1 pada minit ke-51.

The Red Devils juga berpeluang menambah beberapa lagi jaringan, namun percubaan Yannick Carrasco dan Michy Batshuayi berjaya digagalkan penjaga gol lawan.

Batshuayi bagaimanapun berjaya juga meletakkan nama sebagai penjaring apabila menutup pesta gol Belgium pada minit akhir permainan.

Tunisia akhirnya berjaya mendapat satu gol saguhati pada minit kecederaan babak kedua menerusi Wahbi Kazri, namun ianya sudah tidak bermakna lagi.

Kemenangan ini menyaksikan Belgium mengumpul enam mata di tangga pertama dan akan layak ke pusingan 16 terbaik itu sekiranya pasukan tangga kedua, England mencatat kemenangan ke atas Panama esok.

Bagi Tunisia pula, mereka sekali lagi terpaksa pulang awal jika England menang, sekali gus menyamai pencapaian 2006 di mana hanya beraksi di peringkat kumpulan sahaja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN