RIYADH 31 Mei – Puteri Arab Saudi, Hayfa Abdullah Al-Saud memecah tradisi diraja negara ini apabila menjadi model penghias kulit majalah Vogue Arabia.

Daily Mail melaporkan, Hayfa menjadi penghias kulit majalah tersebut bagi keluaran Jun ini yang memfokuskan kepada perubahan budaya di negara ini.
Hayfa yang juga merupakan artis profesional dilihat bergambar dengan sebuah kereta mewah berlatar belakang kawasan padang pasir di Jeddah sambil mengenakan busana anggun berwarna putih.
Imej itu juga secara tidak langsung menggambarkan pemansuhan larangan memandu terhadap golongan wanita yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Riyadh sebelum ini.
Larangan tersebut dijadual dilaksanakan pada bulan depan.
Menerusi temu bual dengan majalah tersebut, Hayfa memaklumkan masih ada pihak yang takut untuk melakukan perubahan kerana mereka sudah terbiasa dengan dasar yang ditetapkan sebelum ini.
“Secara peribadi, saya menyokong semua perubahan yang dilakukan kerana setiap negara mempunyai ciri-ciri yang spesifik dan unik.
“Kami juga mempunyai kelemahan dan kelebihan, namun ia masih menjadi budaya kami. Adalah lebih wajar jika pihak lain termasuk Barat cuba memahami budaya kami berbanding menilainya secara berat sebelah,” katanya.
Gambar Hayfa sebagai penghias kulit majalah tersebut dirakam oleh jurugambar terkenal, Boo George.
Temu bual bersama puteri yang mempunyai tiga cahayamata itu juga menyingkap tentang kehidupan diraja Arab Saudi.
Hayfa menegaskan bahawa bapanya sama seperti kebanyakan bapa lain di seluruh dunia iaitu sentiasa mementingkan kebajikan anak-anaknya.
“Bapa saya mengingatkan saya bahawa kami sama seperti masyarakat lain dan perlu sentiasa bersikap rendah diri,” ujarnya.
Selain Hayfa, beberapa tokoh Arab Saudi lain yang pernah bergambar sebagai penghias kulit Vogue Arabia termasuk pemain bola sepak Saja Kamal dan pelakon Ahd Kamel.









