HAYATI MENDALAM FITRAH MANUSIA - Utusan Malaysia

HAYATI MENDALAM FITRAH MANUSIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA berselindung di sebalik sebarang fakta dan kenyataan, penulis, dalam pengalaman di serata negara dan pelosok dunia yang telah dikunjungi di Timur dan Barat, ketika kembali kepada sambutan hari raya Aidilfitri, tidak pernah me­rasakan suasana dan semangat serta pengisian keagamaan dan budaya negara seperti yang dirasakan di tanah air sendiri.

Ketibaan hari raya di bumi tercinta ini, amat dirasakan sebagai kedatangan hari agung agama dan budaya bangsa Malaysia, sebagai hari kebesaran umat Muslimin dan rakyat keseluruhannya.

Kita semua mengucapkan selamat Aidilfitri, hari raya Fitrah, dalam pengertian fitri, mengikut asal kejadian manusia dan alam semesta dalam sifat fitrahnya, bersih dan asli, tertib dan tersusun kemas mengikut asal kejadian Allah SWT sebagai salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Renungi dan kajilah satu ayat al-Quran yang ringkas dan pendek di dalam surah Al-Rum ayat 30:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam), mengikut fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah, itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Menurut pengertian ayat yang tersebut di atas, bahawa fitrah Allah atau nature menurut istilah sains, maksudnya ialah kejadian manusia dan alam semesta ciptaan Allah SWT adalah asli dan suci yang seharusnya dipelihara keasliannya tanpa pencemaran dan kerosakan luaran dan dalaman makhluk-Nya itu.

Kembali kepada kejadian fitrah manusia dan alam inilah maka manusia yang tidak menghayati kehidupan fitrah pada masa kini, banyak sekali melakukan perbuatan yang tidak suci dan aman lagi, iaitu dengan bertindak mengikut nafsu dalam kepelbagaian aspek kehidupannya, melakukan keganasan, pembunuhan dan peperangan yang bermaharajalela di sana sini.

Pencemaran udara, air dan alam seluruhnya adalah gejala yang berlaku akibat dari perlakuan manusia yang cemar dan tidak bersih terhadap alam sekitar. Maka cabaran inilah yang sering dihadapi oleh manusia yang tidak pernah mahu mempelajari proses pemeliharaan tingkah laku manusia yang murni terhadap diri dan alam sekitarnya. Inilah pengajaran yang seharusnya diambil oleh manusia keseluruhannya ketika kita merayakan ketibaan hari raya ini.

Pengucapan Aidilfitri adalah satu doa terhadap Allah SWT agar manusia dalam menyambut ketibaan Hari Raya akan kembali kepada fitrah kejadiannya yang bersih dan luhur, kembali kepada sifat dan asli bayi yang dilahirkan menurut Hadis Nabi Muhammad SAW bahawa setiap bayi yang dilahirkan pada saat kelahirannya adalah dilahirkan dalam keadaan fitrah mengikut sunnah Allah SWT dan pendidikan di sekelilingnya yang mencorakkan sifatnya kemudian kelak.

Maka pada hari raya, umat Islam telah kembali semula ke peringkat asli, suci dan bersih dari segala pencemaran, setelah sebulan berpuasa, melalui pengajaran dan orientasi suci, membentuk jiwa dan akidah, cara hidup dan rutinnya dengan ibadat yang sekiranya telah dilakukan dengan penuh keinsafan, pengajaran dan kesuburan akal dan roh, rohani dan jasmani, maka proses itulah yang membentuk manusia kembali kepada sifat fitrahnya.

Atas dasar inilah ungkapan pertama yang disebutkan ialah selamat hari raya Fitrah, yang memberikan gambaran jelas bahawa ketibaan hari perayaan ini membawa erti kembalinya manusia menjadi makhluk fitrah. Dalam ucapan raya berbahasa Arab, maka ungkapan ucapan seterusnya ialah selamat kembali ke sifat fitrah manusia, selamat berjaya dan selamat diterima oleh Allah SWT (minal ‘aidin, alfaizin, almaqbulin)

Nabi Yusuf A.S ketika mengingati kembali segala peristiwa kehidupannya yang panjang dan kompleks, setelah berjaya kembali ke penghidupan berhikmah dan luhur dengan pertemuan semula dengan ibu bapa dan saudara-saudaranya, telah menyifatkan Allah SWT sebagai Fatir, yang ditafsirkan sebagai Pelindung dan Pencipta dengan munajatnya kepada Penciptanya dalam surat Yusuf ayat 101:

“Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takbir mimpi. (Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, matikanlah aku dalam keadaan muslim dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.”

Sesungguhnya amat murni dan bersih sekali pengucapan Nabi Yusuf yang penuh hikmah dan syahdu ini ketika mengembalikan semula lipatan peristiwa kehidupannya, yang akhirnya kembali ke kehidupan fitrah dengan penyatuan semula baginda dengan ibu bapa dan saudara-saudaranya.

Dengan itu ternyata bahawa kemunculan hari raya adalah hari kemenangan, hari kesucian dan hari kembalinya manusia ke zaman fitrah dan murninya sebagai makhluk Allah SWT yang suci dari dosa dan sebarang pencemaran akidah, syariah dan akhlaknya.

Malah menjelmanya hari kemenangan dan keinsafan fitri manusia ini adalah dengan berlalunya riadah rohani dan kekuatan jasmani menahan nafsu yang sering mencabar naluri dan tabiatnya yang sering menyerah kalah kepada bisikan indah yang melalaikannya itu.

Sebulan berlalu menjalani kehendak agama dan mengatasi segala dugaan serta cabaran nafsu yang hebat, maka bagi mereka yang berjaya, itulah pengajaran dan perintah Allah SWT yang amat konsisten setiap tahun dalam kehidupan manusia yang sentiasa tercabar dan menerima ujian.

Kemenangan inilah yang di­rayakan menjelangnya hari perayaan, hari pengukuhan sila­turahim, kasih sayang sesama keluarga dan anggota seagama yang sama haluannya, malah sesama manusia yang berbeza keturunan dan akidahnya. Selamat hari raya Aidilfitri.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN