SAINT-PETERSBURG – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli dan para pemainnya berjaya merealisasikan misi mereka mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas menumbangkan Nigeria 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan D awal pagi semalam.
Argentina memulakan aksi goyah pada kempen kali ini apabila sekadar meraih satu mata dalam dua perlawanan selepas sekadar seri 1-1 menentang Iceland, manakala berdepan kekalahan memalukan ketika tewas 0-3 kepada Croatia.
Sebelum aksi menentang Nigeria, Sampaoli berkata, Argentina tidak mempunyai pilihan kecuali menang sekiranya tidak mahu pulang awal pada edisi kali ini dan perlu menganggap aksi menentang Super Eagle itu seperti perlawanan akhir.
“Kami akan bertemu pasukan (Perancis) yang menjadi calon pilihan untuk memenangi Piala Dunia dan sebuah pasukan yang akan menyukarkan laluan kami.
“Kami tahu bahawa Argentina harus lebih konsisten jika mahu melepasi peringkat 16 pasukan terbaik.
“Namun, seperti saya katakan sebelum ini bahawa Argentina perlu berdepan lima aksi ‘final’ pada Piala Dunia kali ini dan kini kami tinggal empat lagi ‘perlawanan akhir’ sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pengendali pasukan yang diberi jolokan La Albiceleste itu menyedari beliau harus mengucapkan terima kasih kepada kaptennya, Lionel Messi yang berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Nigeria.
“Messi membuatkan saya berasa bangga kerana dia mengetahui keghairahan saya untuk bola sepak,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi Victor Moses menyamakan kedudukan buat Nigeria menerusi sepakan penalti (m-51) sebelum pemain pertahanan Manchester United, Marcos Rojo meledak gol kemenangan (m-84). – Agensi











