KANGAR 31 Mei – Jasa anggota tentera perlu dihargai dengan sepenuh hati, kerana pengorbanan merekalah dalam menjaga keselamatan negara selama ini, membolehkan seluruh rakyat menjalani kehidupan aman dan selamat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail bertitah, tugas para anggota ini amat mulia dan sewajarnya disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat.
Titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, keamanan dan keselamatan merupakan dua perkara yang tidak boleh dikompromi dan ia merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara tercinta ini.
“Pada kesempatan ini, beta mewakili seluruh ahli delegasi dari negeri Perlis mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas segala pengorbanan para anggota dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan perairan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli berbuka puasa bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kapal Auxilliary Bunga Mas Lima di perairan Kudat, Sabah baru-baru ini.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengawasan di perairan dan juga di pulau-pulau di negeri ini merupakan operasi yang dapat memperkukuhkan situasi atau keadaan keselamatan secara keseluruhannya di kawasan tanggungjawab.
“Insya-Allah beta yakin pengawasan ini dapat menghindarkan segala usaha oleh elemen-elemen atau anasir-anasir tertentu untuk menguasai kawasan perairan negara di Timur Sabah ini,” titah baginda.










