Harga tidak masuk akal - Utusan Malaysia

Harga tidak masuk akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menyelesaikan isu bekalan air dengan Singa­pura secara diplomatik selain akan mengkaji semula perjanjian air yang telah dimeterai dengan negara tersebut sebelum ini.

“Air merupakan antara isu yang perlu kita selesaikan dengan Singapura dan kita akan duduk berbincang dengan mereka se­perti orang yang bertamadun” katanya dalam temubual dengan Bloomberg hari ini.

Beberapa siri perjanjian sejak 1927 antara Malaysia dengan Si­ngapura mengenai bekalan air telah dipersetujui kedua-dua negara ekoran Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perjanjian Air 1962 yang ber­akhir pada tahun 2061 menyaksikan Malaysia menjual kepada negara itu sebanyak 250 juta gelen air mentah sehari dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula air yang dirawat Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Sementara itu, dalam temu bualnya bersama Channnel NewsAsia pula, Dr. Mahathir menyifatkan harga sebanyak tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual Malaysia kepada Singapura adalah tidak masuk akal.

“Saya fikir tidak masuk akal bagi kita menjual air pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen. Mungkin harga itu berpatutan pada tahun 1990-an atau 1930 tetapi sekarang apa yang boleh dibeli dengan harga tiga sen? Kita akan mengkaji kes ini dengan sebaiknya dan akan membuat pembentangan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau belum memaklumkan kepada Singapura tentang hasrat kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) seperti yang dipersetujui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Kadangkala kita membuat kenyataan umum tanpa memuktamadkan proses tersebut, apabila kita mahu membuat keputusan kita tidak tunggu sehingga memaklumkan kepada Singapura, kita hanya ingin katakan sesuatu.

“Sudah tentu mereka ingin tahu dan kita akan memaklumkan kepada mereka kemudian dan ia tidak begitu mendesak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini