MUAR 17 Jun – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan budaya mengeluarkan surat sokongan oleh pemimpin politik seperti Ahli Parlimen termasuk daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed sendiri kepada individu tertentu untuk mendapatkan sesuatu projek diberhentikan terus.
Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, di peringkat penjawat awam pula, mereka disaran menolak mana-mana permohonan yang menggunakan sistem itu kerana bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Seperti ditekankan oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir, kalau ada elemen salah guna kuasa atau perkara itu bertindih dengan undang-undang sedia ada, penjawat awam kena berani dan jangan terima perkara ini kerana yang salah tetap salah.
“Penjawat awam merupakan benteng kerajaan dalam membanteras penyelewengan dan salah guna kuasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh di sini, hari ini.
Syed Saddiq mengulas tindakan seorang pemimpin muda PPBM yang menggunakan surat sokongan Ahli Parlimen Bukit Bintang untuk mendapatkan 80 lot tapak bazar Ramadan dengan kadar sewa RM80 setiap satu daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai kes tersebut yang telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syed Saddiq menjelaskan, jika pemimpin itu didapati bersalah, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana yang salah tetap salah.
Beliau diberitahu, penjawat awam di DBKL mendakwa terpaksa meluluskan permohonan Ketua Pemuda PPBM berkenaan setelah datang membawa surat sokongan daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang.










