PARIS – Pemain No. 1 dunia, Simona Halep enggan lagi mengulangi episod hitam musim lalu pada aksi final Terbuka Perancis menentang Sloane Stephen malam ini.
Atlet berusia 26 tahun berkenaan meraih kemenangan bergaya dengan menumbangkan juara 2016 yang juga pemain pilihan ketiga, Garbine Muguruza dari Sepanyol dengan 6-1, 6-4 kelmarin.
Kejayaan tersebut bukan sahaja meletakkan pemain Romania itu selangkah lagi menghampiri impiannya meraih gelaran Grand Slam pertama, malah mengukuhkan kedudukannya di ranking pertama dunia.
Bagaimanapun, dia enggan terlalu yakin selepas tumbang kepada Jelena Ostapenko yang mencipta kejutan sebagai pemain Latvia wanita pertama merangkul gelaran Grand Slam Terbuka Perancis tahun lalu.
“Kini, saya diberi peluang sekali lagi untuk berada di pentas final Terbuka Perancis. Saya berharap dapat beraksi lebih baik dan tidak mengulangi lagi kesilapan tahun lalu.
“Saya pernah tewas di pentas final kejohanan besar sebanyak tiga kali. Tapi, saya percaya pengalaman akan mematangkan saya dalam permainan. Saya tak pasti sekiranya mampu mengubah kesudahan esok (hari ini) dengan kemenangan.
“Saya akan kekal dengan rutin saya. Dalam tenis, tiada apa yang mustahil, saya mahu berfikiran positif,” katanya. – Agensi











