Halep akhiri kemarau Grand Slam - Utusan Malaysia

Halep akhiri kemarau Grand Slam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Pemain No. 1 dunia, Simona Halep akhirnya berjaya merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya selepas menjuarai Terbuka Perancis dengan menewaskan pilihan ke-10 Sloane Stephens 3-6, 6-4, 6-1 pada aksi final di Stade Roland Garros kelmarin.

Kejayaan itu menyaksikan Halep, 26, muncul pemain tenis wanita kedua dari Romania memenangi Grand Slam selepas Virginia Ruzicki menjuarai Terbuka Perancis 1978.

Ia sekali gus menebus kekecewaan Halep yang terdahulu tewas dua kali di pentas final Terbuka Perancis di tangan jelitawan Rusia, Maria Sharapova pada edisi 2014 dan Jelena Ostapenko tahun lalu.

“Setiap kekalahan saya daripada perlawanan akhir adalah pengalaman dan pengajaran terbaik. Saya tewas dua kali di final Terbuka Perancis dan sekali pada Terbuka Australia tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia tidak mematahkan semangat kerana saya sentiasa percaya kejayaan itu akan hadir hasil usaha keras selama ini,” kata Halep.

Mengulas lanjut, Halep mendedahkan, dia sudah membayangkan kekalahan kepada pemain No. 4 du­nia dari Amerika Syarikat itu selepas tewas dalam set pertama.

“Saya fikir peluang untuk memenangi Grand Slam sekali lagi terkubur. Saya sudah biasa kehilangannya, jadi saya cuma mahu menikmati perlawanan akhir ini.

“Bagaimanapun, saya sedar inilah peluang terbaik selepas saya mula memenangi set kedua, sekali gus ia menjadikan saya lebih tenang. Itu adalah salah satu punca kemena­ngan saya,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini