KUALA LUMPUR 25 Jun – Sebagai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seharusnya menumpukan perhatian dan tindakannya terhadap tugas-tugas mengurus kewangan negara, bukan menimbulkan kegelisahan rakyat melalui semangat ‘Malaysia Baru’ yang sering dilaung-laungkannya.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, beliau menyelar tindakan Guan Eng yang mempertahankan kenyataan rasmi kerajaan diterbitkan dalam bahasa Mandarin.
“Bukan sahaja tidak selari dan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan malah sedikit sebanyak ia menerbitkan rasa kurang senang dan kegelisahan di kalangan rakyat negara ini.
“Respon netizen di media sosial ternyata mereka mengecam dan meminta Guan Eng supaya bertindak sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan yang lebih objektif dalam melaksanakan tugasnya,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Noraini berkata, namun lebih dikesali reaksi Guan Eng terhadap kecaman-kecaman tersebut melalui akaun Facebooknya tetap dijawab dalam bahasa Mandarin.
“Apakah Guan Eng hanya mahu membuat penjelasan kepada masyarakat berbangsa Cina sahaja? Bagaimana pula dengan kaum Melayu, India dan lain-lain yang turut mengundi Pakatan Harapan untuk menjadi Kerajaan Malaysia?,” katanya. – UTUSAN ONLINE










