Guan Eng hina, rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan - Utusan Malaysia

Guan Eng hina, rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini membidas tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan dan menggesanya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan Guan Eng itu sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan sahaja dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam setiap amalan dan urusan Kerajaan Malaysia.

“Saya amat terkesan, malah terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB (Yang Berhormat) Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian di dalam bahasa Mandarin dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

“Ini kerana, kenyataan yang ditulis dan dikeluarkan dalam bahasa Mandarin tersebut merupakan kenyataan rasmi yang melibatkan urusan pentadbiran negara dan kepentingan awam dan bukannya sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, tindakan Guan Eng itu boleh disimpulkan sebagai satu yang amat menyedihkan kepada bahasa Melayu kerana belum sampai 100 hari pun kita bertukar kerajaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan boleh diabaikan oleh pegawai tinggi kerajaan.

“Barangkali pada YB Lim Guan Eng, atas nama Malaysia Baharu, perkara yang menjadi warisan, amalan, kebanggaan dan struktur asas negara ini, layak sahaja dibuang dan diketepikan agar selari dan memenuhi cita-cita kerajaan baharu.

“Memandangkan sekarang ini kita berada dalam Malaysia Baharu, mungkin bukan sahaja amalan kerajaan yang mesti baharu, tetapi kita juga memerlukan satu bahasa baharu bagi menggantikan bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan hari ini seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara tersebut.

“Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai ‘kaduk naik junjung’. Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas.

“Saya gesa YB Lim Guan Eng untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan segera kepada seluruh warga negara Malaysia yang menjunjung dan menghormati kedudukan bahasa rasmi negara. Dan, sebagai peringatan, kenyataan memohon maaf tersebut, mestilah dalam bahasa Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN