KREMLIN 18 Jun – Kapten Sweden, Andreas Granqvist tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukannya selepas mudah menyempurnakan sepakan penaltik bagi menundukkan Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan F di Stadium Nizhny Novgorod.
Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan begitu terdesak untuk menang selepas Mexico berjaya menundukkan Jerman dalam aksi pembukaan semalam.
Dalam aksi itu, Sweden meraih peluang berharga selepas Viktor Claesson dijatuhkan Kim Min Woo dalam kotak penalti dan pengadil Joel Aguilar memberikan sepakan penalti sejurus selepas memeriksa rakaman insiden itu.
Granqvist, bagaimanapun tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan itu bagi memastikan kemenangan Blagult dalam perlawanan itu.
Sebelum itu, Sweden mengawal hampir keseluruhan perlawanan dan banyak melakukan percubaan-percubaan bahaya.
Terdahulu, Sweden hampir memecah kebuntuan apabila penyerang mereka, Marcus Berg melakukan percubaan tepat ke pintu gol Korea Selatan pada minit ke-21 namun terkena lutut penjaga gol, Cho Hyun Woo.
Hyun Woo memainkan peranan penting bagi memastikan gawang Taeguk Warriors tidak terus dibolosi dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pada separuh masa kedua tetapi tidak berjaya menyelamatkan sepakan penalti Granqvist.
Korea Selatan memiliki peluang menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan tetapi tandukan Hwang Hee Chan tersasar daripada pintu gol. –REUTERS










