MEXICO – Kemenangan bergaya Mexico ke atas juara bertahan Piala Dunia, Jerman 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan F telah menyaksikan ‘gempa bumi’ jadian berlaku di sekitar Mexico.
Perkara tersebut disahkan oleh Insititut Penyiasatan Geologi dan Atmosfera tempatan yang mendakwa punca gempa terbabit berlaku susulan ratusan ribu penyokong Mexico meraikan gol tunggal yang dijaringkan oleh pemain mereka, Hirving Lozano pada babak pertama.
“Kami mengenal pasti berlaku gempa jadian beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Mexico. Ia mungkin berlaku susulan apabila ribuan orang melompat dan bersorak untuk meraikan gol yang dijaringkan oleh Lozano sebentar tadi (malam tadi),” katanya dalam laman twitter rasmi @SIMMSAmex.
Sementara itu, Lozano mengakui sangat gembira apabila dapat menghadiahkan tiga mata penuh kepada pasukannya.
“Ini adalah gol terbaik sepanjang karier saya. Perasaan sukar dijelaskan kerana apa yang pasti, beraksi dalam pentas Piala Dunia adalah cukup istimewa khususnya apabila anda berjaya tewaskan pasukan hebat seperti Jerman,” katanya.










