ST. PETERSBURG 21 Jun – Perdebatan hangat mengenai pemilihan pemain yang menyelubungi skuad pasukan Brazil sebelum Piala Dunia berlangsung bertambah hebat walaupun selepas mereka menempuh satu perlawanan dalam kejohanan yang sedang berlangsung.
Apakah Gabriel Jesus atau Roberto Firmino sepatutnya dipilih sebagai penyerang utama?
Menjadi kegemaran Tite sejak jurulatih itu mula membimbing pada Jun 2016, Jesus, 21, berada dalam kesebelasan utama Brazil ketika perlawanan pembukaan Kumpulan E, yang mana mereka sekadar seri 1-1 dengan Switzerland, tetapi mengalami kesukaran untuk menonjolkan kemampuannya.
Firmino pula seperti biasa dimasukkan pada separuh masa kedua, dan hanya memerlukan 11 minit kemudian untuk membuktikan bakatnya di Rostov dan hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan pada penghujung perlawanan.
Sementara karier Jesus agak turun-naik bersama Manchester City musim lalu, Firmino, 26, pula menikmati prestasi terbaiknya bersama Liverpool dan merupakan antara pemain tonggak dalam perjalanan mereka ke perlawanan akhir Liga Juara-juara.
Dengan jumlah golnya iaitu 27 untuk Liverpool dalam semua pertandingan musim lalu, Firmino mungkin merupakan pilihan lebih baik yang diperlukan Brazil untuk memenangi perlawanan.
Terdapat perbezaan besar antara dua pemain itu – Jesus adalah pemain yang lebih pantas dan meletakkan dirinya berdekatan pemain pertahanan terakhir sementara Firmino sanggup turun ke bahagian tengah dan turut membina permainan. Menentang Costa Rica yang dijangka akan mengamalkan corak bertahan, ruang berkemungkinan semakin sempit untuk Jesus melepasi barisan pertahanan.
Bukan itu sahaja, Brazil juga dilanda kebimbangan menjelang perlawanan esok di St. Petersburg setelah Neymar berjalan terhincut-hincut ketika sesi latihan, yang jelas berpunca daripada kekasaran berterusan ke atasnya oleh pemain Switzerland dalam perlawanan pembukaan di Rostov. Penyerang itu juga baharu sahaja pulih daripada kecederaan kaki yang memaksanya berehat tiga bulan.
Costa Rica pula memulakan kempen mereka dengan kekalahan 1-0 kepada Serbia, dibolosi menerusi sepakan bebas terus.
“Saya menyaksikan perlawanan mereka menentang Serbia, dan perlawanan itu diputuskan menerusi set piece. Mereka adalah pasukan yang mengamalkan corak terbuka. Kami pula akan kekal dengan permainan kami, bermain dengan cantik dan berani,” kata pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho yang menjaringkan gol ke atas Switzerland.
Jika Neymar tidak dapat bermain, Douglas Costa yang merupakan pemain sayap laju dijangka menggantikannya. Firmino juga boleh bermain di bahagian sayap, yang bermakna Jesus kekal sebagai penyerang tengah.
Pada 2014, Costa Rica memenangi peringkat kumpulan dan mencipta kejutan apabila layak ke suku akhir menerusi corak permainan yang kompak, sukar untuk dipecahkan, tidak takut dan bermain menggunakan serangan balas. Melihat kepada perlawanan mereka menentang Serbia, keadaan nampak tidak banyak berubah untuk kali ini. – AGENSI










