Filipina seragamkan sekolah Islam - Utusan Malaysia

Filipina seragamkan sekolah Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 4 Jun – Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lo­renzana berkata, pihak berkuasa akan menyeragamkan pengajaran di sekolah-sekolah Islam swasta dan awam berikutan serangan militan tahun lepas yang meningkatkan kebimbangan radikalisme lebih besar di negara itu.

Lorenzana berkata, Filipina akan melaksanakan sistem mad­rasah berinstitusi dengan kurikulum standard dan pengawasan yang lebih besar daripada Jabatan Pendidikan negara itu.

Menurut beliau, beberapa sekolah sedemikian didapati diuruskan oleh individu dengan kepercayaan ekstremis, menjadikan mereka saluran kepada penda­naan rahsia aktiviti radikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lorenzana berkata demikian ketika berucap dalam persida­ngan keselamatan di Singapura yang dihadiri oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis serta pegawai pertahanan dan ahli akademik dari 43 negara.

Tambah beliau, rondaan yang menyasarkan militan Islam di Laut Sulu itu memberikan hasil yang menggalakkan.

Sejak Jun lalu, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah meronda kawasan sekitar Sabah dan selatan Filipina, di mana militan berhasrat untuk membentuk kumpulan mereka.

Kepungan militan lebih lima bulan di bandar Marawi tahun lalu menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh dan 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sedang bekerja keras untuk menaik taraf tenteranya sambil mengakui bahawa negara itu kini masih belum mampu mempertahankan wilayahnya sen­diri.

Beijing telah mula memasang sistem peluru berpandu di pulau buatannya di Laut China Selatan manakala Manila baru-baru ini mula membaik pulih landasan yang runtuh di pulau terbesar yang dikuasai di kawasan itu.

China meningkatkan belanjawan pertahanannya tahun ini kepada AS$175 bilion (RM696 bilion) berbanding Filipina yang hanya mampu mengeluarkan AS$ 2.85 bilion (RM11.13 bilion).

“Pada masa ini, kami tidak mempunyai keupayaan kerana ketiadaan kapal, modal dan senjata. Kami memerlukan sedikit masa untuk bersedia mempertahankan wilayah kami seperti yang sepatutnya tetapi jelasnya kami tidak mempunyai ke­upayaan sekarang.

“Apa yang dapat kami lakukan sekarang ialah mengemukakan protes diplomatik, perhatikan dan beritahu mereka, dialog de­ngan China. Tiada apa lagi yang boleh kita lakukan,” kata Lorenzana.

Jelas beliau, satu-satunya laluan udara Filipina di kawasan itu yang terletak di Pulau Pag-a­sa, sangat pendek dan tidak berturap tetapi kerajaan negara itu sedang cuba membaikinya untuk membawa pesawat pada bila-bila masa. – AP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini