JAKARTA 29 Jun – Kumpulan penyelamat yang menggunakan dron dasar laut dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan beberapa mayat dan motosikal dipercayai daripada sebuah feri yang karam di Danau Toba pada minggu lalu.
Feri KM Sinar Bangun, feri kayu sepanjang 17 meter, terbalik selepas dilanda ribut dan tenggelam pada kedalaman 450 meter.
Setakat ini, tiga penumpang disahkan maut manakala 200 lagi masih belum ditemukan.
Kebanyakan penumpang dipercayai terperangkap dalam feri lebih muatan itu bagaimanapun kedalaman tasik dan persekitaran yang mempengaruhi operasi SAR telah menyukarkan usaha untuk mencari mangsa.
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Muhammad Syaugi berkata, rakaman video yang diambil semalam oleh dron dasar laut menunjukkan penemuan mayat, motosikal dan tali daripada feri pada kedalaman 450 meter.
“Selepas berjaya mengesan objek, tugas seterusnya ialah cara untuk mengangkat mayat tersebut,” katanya.
Seramai 18 orang termasuk kapten feri, terselamat dengan feri berkenaan dikatakan membawa muatan berlebihan termasuk motosikal.
Polis Indonesia telah menyoal siasat kapten feri terbabit minggu lalu dan menamakan empat orang sebagai suspek dalam siasatan jenayah terhadap bencana feri yang disifatkan terburuk hampir satu dekad itu. – REUTERS










