KUALA LUMPUR 30 Jun – Menyedari keakraban dan kemesraannya dengan pelakon Fasha Sandha, 34, mula diperkatakan umum, aktor kacak Aidil Aziz, 31, mengakui keterbukaan sikap aktres jelita berkenaan membuatkan hatinya tertawan.
Menurut jejaka tinggi lampai kelahiran Negeri Sembilan itu, Fasha adalah seorang wanita yang matang dan rasional, malah menerimanya seadanya meskipun mengetahui akan sejarah lampau yang pernah membelenggu dirinya.
“Secara luaran, tidak dinafikan Fasha kelihatan seperti wanita yang berada dalam kategori ‘high maintenance’. Namun, dalamannya dia tidaklah sebegitu.
“Sikap keibuan yang dimiliki Fasha terserlah dalam mendidik dan membesarkan kedua-dua anaknya, bahkan sangat mengambil berat perihal mereka dua beradik,” ujar Aidil kepada Utusan Online.
Aidil berkata demikian ketika diminta pendapat peribadinya terhadap produser sitkom lakonan mereka berdua, Mamu Mami Gosip terbitan syarikat produksi milik Fasha, FS Creative Sdn. Bhd.
Menyifatkan Fasha seorang wanita moden yang amat bersederhana dalam menjalani rutin kehidupannya seharian, hal itu sekali gus membuatkan Aidil mudah berasa selesa untuk terus mendampingi ibu tunggal berkenaan.
“Apapun, doa yang baik-baik sahaja. Don’t judge a book by its cover (Jangan menilai seseorang itu hanya dari luaran),” katanya memetik kapsyen yang dimuat naik di laman Instagram miliknya. – UTUSAN ONLINE










