PUTRAJAYA 1 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan menganjurkan program Jimat Belanja Aidilfitri di 724 pasar tani di seluruh negara bermula 8 hingga 14 Jun ini.
Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, program tersebut diadakan bagi memudahkan orang ramai membeli barang keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Barang-barang yang akan dijual nanti memfokuskan kepada barang keperluan untuk hari raya seperti daging, ayam, sayur-sayuran, kuih-muih dan juga daun palas untuk membuat ketupat.
“Orang ramai juga tidak perlu risau mengenai bekalan bahan kerana mencukupi dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di pasar tani, di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh tersebut pihaknya juga akan menjual barangan di bawah skim kawalan harga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. – UTUSAN ONLINE










