Erdogan dipilih semula - Utusan Malaysia

Erdogan dipilih semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL 25 Jun – Recep Tayyip Erdogan hari ini muncul pemenang da­lam pilihan raya Pre­siden, kemenangan yang membolehkannya menjadi presiden pertama Turki dengan kuasa eksekutif selain mengukuhkan penguasaan beliau ke atas negara yang mempunyai 81 juta penduduk sehingga sekurang-kurangnya tahun 2023.

Pemimpin paling popular da­lam sejarah Turki moden itu berikrar bahawa beliau tidak akan berundur daripada hasratnya untuk mengubah Turki, sebuah negara berpecah-belah yang merupakan anggota kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan calon untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Erdogan, 64, dan parti beliau, Parti AK semalam mendakwa muncul pemenang dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen de­ngan mengetepikan pembang­kang yang sejak beberapa ming­gu lalu berjaya meraih momen­tum dan dijangka mampu me­ngejutkan pentadbiran 15 tahun pemimpin itu.

Beliau berjaya memperoleh sebanyak 52.5 peratus undi dalam pilihan raya Presiden de­ngan le­bih 99 peratus undi sudah dikira.

Parti AK turut mendapat 42.5 peratus undi dalam pilihan raya Parlimen dan keputusan itu dikuatkan lagi dengan parti sekutunya yang berjaya melangkau jangkaan apabila berjaya meraih 11 peratus undi.

Mata wang Lira yang me­ngalami susut nilai kira-kira 20 peratus tahun ini mencatatkan pening­katan pada pembukaan hari berikutnya berbanding dolar Amerika dan didagangkan sekitar 4.6350 berbanding dolar selepas ditutup pada 4.6625, Jumaat lalu.

Pihak pembangkang dalam pada itu mendakwa masih terlalu awal untuk mengaku kekalahan mereka ketika pemimpin utama yang juga bekas guru, Muharrem Ince mendapat 31 peratus undi.

Erdogan kerap kali menyifatkan lawannya sebagai musuh demokrasi dengan menggunakan sentimen nasionalis yang disusuli dengan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

“Ini adalah soal untuk kita kembali dari mana kita membawa negara kita dari segi de­mok­rasi dan ekonomi.

“Tidak ada penghentian bagi kami sehingga kami membawa Turki, yang kami selamatkan daripada mereka yang berkomplot, perampas kuasa dan pembunuh upahan ekonomi dan politik, geng jalanan serta pertubuhan pengganas menjadi 10 negara ekonomi terkemuka dunia,” kata Erdogan.

Menurut Al-Jazeera, kesemua tiga parti pembangkang utama mendakwa Anadolu memanipulasi keputusan pilihan raya de­ngan menyiarkannya secara terpilih, dakwaan yang dinafikan kerajaan.

Keputusan rasmi pilihan raya itu bagaimanapun hanya akan diumumkan beberapa hari lagi.

Pilihan raya itu menandakan buat pertama kali pengundi Turki mengundi dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen secara se­rentak selaras dengan perubahan Perlembagaan yang diluluskan tahun lalu yang akan mengubah sistem berparlimen kepada sistem presiden eksekutif.

Sistem baharu itu akan memberikan Presiden baharu dengan kuasa eksekutif selain memansuhkan jawatan perdana menteri dan fungsi Parlimen sebagai pemantau. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN