Era baharu pendidikan Malaysia - Utusan Malaysia

Era baharu pendidikan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan baharu yang memerintah hari ini mengambil perhatian serius untuk membangunkan sistem pendidikan agar terus cemerlang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tujuan utama adalah untuk memastikan pendidikan di negara ini mampu melahirkan generasi graduan yang holistik dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Sejak merdeka, sistem pendidikan di negara ini lebih memfokuskan kepada ujian dan peperiksaan.

Pencapaian akademik pelajar akan dijadikan sebagai asas utama untuk mengklasifikasikan mereka sebagai budak pandai atau sebaliknya.

Pelajar yang memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang mendapat pelbagai peluang untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan mempunyai peluang kerjaya yang lebih cerah.

Namun, senario yang sedemikian sudah tidak relevan lagi pada masa ini dan akan datang. Sistem yang fokuskan kepada pencapaian akademik semata-mata sudah tidak lagi mampu menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Oleh yang demikian, apa yang dicadangkan oleh kerajaan agar pendidikan hari ini dikaji semula sesuai dengan perubahan masa dan ekspektasi majikan serta masyarakat.

Berikut adalah tiga sebab utama mengapa kurikulum yang memfokuskan kepada pencapaian akademik semata-mata sudah tidak relevan lagi.

Nilai dan etika

Salah satu elemen yang wajar diterapkan dalam diri setiap pelajar ialah nilai dan etika masyarakat.

Nilai dan etika ini wajar diserapkan seawal yang mungkin agar ia mampu menjadi sebati dalam kehidupan mereka pada kemudian hari.

Oleh yang demikian, kurikulum yang bakal digubal nanti perlulah memberikan pendekatan dan tumpuan kepada membudayakan nilai serta etika yang diinginkan kepada pelajar tersebut.

Pendedahan pada peringkat awal seperti di taska, sekolah rendah dan sekolah menengah pasti mampu melahirkan ahli masyarakat yang harmoni serta sejahtera sepanjang masa.

Kejayaan masyarakat Jepun membudayakan elemen kesihatan dan kebersihan sudah terserlah di merata dunia.

Justeru, di Jepun adalah sangat sukar untuk berjumpa tong sampah di tempat awam kerana rakyatnya telah dididik untuk menjaga kebersihan dengan baik.

Sistem pendidikan di Malaysia yang ada pada hari ini harus digubal untuk memastikan nilai tambah itu dapat diaplikasikan dalam kehidupan pelajar seawal mungkin.

Kemahiran abad ke-21

Kemampuan menguasai kemahiran abad ke-21 merupakan antara elemen yang penting untuk kecemerlangan generasi muda akan datang.

Antara kemahiran abad ke-21 yang diperlukan ialah kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, penyelesaian masalah, kesukarelawan dan sosial.

Semua kemahiran ini tidak mampu diterjemahkan oleh kecemerlangan akademik seseorang.

Oleh yang demikian, seringkali dapat dilihat individu yang cemerlang dalam akademik tidak mampu berkomunikasi dengan baik ataupun mempunyai kredibiliti untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat.

Justeru, adalah sangat signifikan agar kurikulum pendidikan yang digubal perlu memberikan fokus kepada melahirkan barisan pelajar yang mempunyai kemahiran abad ke-21 ini.

Tanpa kemahiran ini, generasi pelajar yang dihasilkan di negara kita pasti akan menghadapi kesukaran dalam menempuh alam kerjaya dan kehidupan pada masa hadapan.

Menguasai pelbagai bahasa merupakan elemen yang mampu meningkatkan daya saing pelajar pada masa hadapan.

Begitu pun, kemampuan menguasai satu atau dua bahasa seperti yang menjadi amalan selama ini sudah tidak mampu untuk menjamin masa depan yang cemerlang.

Oleh yang demikian, kurikulum baharu perlu mengambil inisiatif untuk membudayakan pelajar kepada penguasaan lebih daripada tiga bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris, Tamil.

Bertaraf global

Malah, lebih menarik dapat menguasai bahasa Mandarin dan satu bahasa antarabangsa seperti Jepun, Korea, Thailand serta Arab.

Inisiatif seperti ini perlu dilaksanakan segera untuk memastikan pelajar yang dilahirkan di negara kita bertaraf global yang menjadi kegilaan majikan pada masa hadapan.

Lebih banyak bahasa yang mampu dikuasai, lebih banyak peluang akan dinikmati oleh barisan pelajar.

Kurikulum yang berteraskan kepada pencapaian akademik semata-mata sudah tidak lagi mampu untuk mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

Kecemerlangan masa depan pelajar pada hari ini dan masa hadapan lebih memfokuskan kepada kemampuan pelajar mempamerkan kelebihan mereka selain daripada bidang akademik.

Justeru, penilaian semula kurikulum pendidikan sedia ada perlu dilaksanakan agar matlamat dan agenda untuk melahirkan insan pada masa hadapan dapat dicapai dengan jayanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini