NIZHNY NOVGOROD, Rusia 24 Jun – WIRA England, Harry Kane menyifatkan kemenangan besar Three Lions sebagai menakjubkan, dan menganggap ‘semua pemain bersatu’ ketika mereka membelasah Panama 6-1 dalam aksi Kumpulan G hari ini.
Jaringan hatrik Kane bukan sahaja membantu England mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati, malah meletakannya sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 dengan lima gol.
Selain tiga gol Kane, dua jaringan John Stones serta satu menerusi Jesse Lingard memastikan pesta gol skuad Three Lions di Stadium Nizhny Novgorod.
“Menakjubkan.
“Saya sangat bangga dengan pemain kami, mereka benar-benar menikmati perlawanan hari ini.
“Kami sedar perlawanan tidak akan mudah, namun semua pemain bersatu menghasilkan keputusan yang hebat.
“Mara ke peringkat kalah mati dengan cara begini adalah sesuatu yang sangat menakjubkan,” kata Kane kepada BBC.
Menurut penyerang Tottenham itu, penyokong England mengimpikan pasukan mereka mampu mengulangi kejayaan menjulang Piala Dunia yang kali terakhir dilakukan pada 1966.
“Kami tidak akan terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan ini, tetapi ya kami kena teruskan permainan baik dan percaya kepada diri sendiri,” katanya lagi.
England kini akan menentang Belgium bagi menentukan juara Kumpulan G, Jumaat ini.
Kegagalan muncul juara berisiko menemukan mereka dengan Brazil atau Jerman di suku akhir.
Skuad kendalian Gareth Southgate memulakan pesta gol seawal minit kelapan menerusi tandukan Stones hasil hantaran Kieran Trippier.
Pengadil, Ghead Grisha menghadiahkan penalti kepada England pada minit ke-22 selepas pertahanan Panama, Fidel Escobar menolak Lingard dan Kane tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakannya.
Gol ketiga diperoleh hasil percubaan Lingard pada minit ke-36 selepas melakukan gerakan satu dua bersama Raheem Sterling sebelum Stones meledak gol keempat selang enam minit.
Grisha sekali lagi memberi penalti kepada England setelah Anibal Godoy menolak Kane, dan penyerang itu dengan tenang menyempurnakannya pada masa kecederaan babak pertama.
Kane melengkapkan hatrik pada minit ke-62 apabila bijak memanfaatkan peluang hasil rembatan Ruben Loftus-Cheek.
Panama yang pertama kali beraksi di pentas Piala Dunia kelihatan gembira apabila memperoleh gol sagu hati hasil percubaan Felipe Baloy.
Baloy menyudahkan sepakan bola mati yang diambil Ricardo Avila ketika permainan berbaki 12 minit. – AGENSI










