Dua wanita didakwa bekal 1,245 pakaian tiruan - Utusan Malaysia

Dua wanita didakwa bekal 1,245 pakaian tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jun – Seorang pemilik kedai pakaian dan pekerjanya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki 1,245 helai pakaian jenama tiruan, Khamis lalu.

Lee Soon Chieng, 59, dan Munfaidah Mui, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di TF Fashion Store, Plaza GM, Lorong Haji Taib, di sini kira-kira pukul 1.30 petang, 21 Jun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, kedua-dua wanita itu bersama-sama didakwa dalam kawalan mereka untuk pembekalan 650 helai pakaian Adidas, 445 helai pakaian jenama Nike dan 150 helai pakaian jenama Puma yang menggunakan perihal dagangan palsu seolah-olah barangan itu tertakluk kepada cap dagangan berdaftar iaitu Adidas, Nike dan Puma.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Azrina Mohamed Yusof dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun Soon Chieng dan Munfaidah yang tidak diwakili peguam pula merayu jaminan dikurangkan.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN