Dua tentera maut dihempap pokok ketika sedang tidur dalam khemah - Utusan Malaysia

Dua tentera maut dihempap pokok ketika sedang tidur dalam khemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK – Dua anggota maut manakala dua lagi cedera selepas dihempap sebatang pokok sewaktu sedang tidur di dalam khemah selepas bertugas dalam operasi di hutan Royal Belum di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu mangsa, Koperal Mohd. Safuan Hassan,30, dan Lans Koperal Fahrurazi A. Manaff, 32, yang bertugas di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementerian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, dua anggota tentera, Mohd. Haizol Kamsiran dan Willian Nisau Anak Atong mengalami patah pada bahagian kaki, paha dan luka di badan serta tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa dipercayai telah mendirikan khemah di bawah sebatang pokok besar.

Jelasnya, sewaktu kejadian berlaku hujan lebat dan ribut kencang sehingga menyebabkan sebatang pokok tumbang sebelum menghempap kesemua mangsa yang sedang tidur.

“Dua jam selepas kejadian, pegawai tentera yang berada di Markas Tektikal  Banding tiba di lokasi kejadian bersama lima anggota dan seorang doktor untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi anggota tentera mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ismail, siasatan turut mendapati sewaktu kejadian, dua mangsa yang cedera sedang tidur bersebelah dengan mangsa yang maut.

Ujarnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan hasil bedah siasat mendapati dua tentera yang maut berpunca daripada patah beberapa tulang rusuk dan pendarahan dalam paru-paru.

Tambah Ismail, tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kes tersebut.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini