MACHANG – Dua maut manakala lima lagi cedera selepas dua buah kenderaan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 malam itu, salah seorang mangsa, Mohd. Zaki Mustafa, 57, yang merupakan penumpang hadapan kereta jenis Suzuki Vitara meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.
Seorang lagi mangsa iaitu penumpang belakang kereta jenis Perodua Axia, Nik Aqillah Nik Mazlan, 28, pula meninggal dunia pada pukul 4.50 pagi ketika sedang dirawat di Hospital Machang.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitenden Dzulkifli Abdul Ghani berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta Suzuki Vitara yang dipandu anak Mohd. Zaki, Nik Muhammad Fakhusyi Shakirin Ashraf, 17, dari arah Tanah Merah menuju ke rumahnya di Bachok telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia.
“Akibat daripada kemalangan itu, Mohd. Zaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu berusia 17 tahun itu bersama ibu dan adik perempuannya turut mengalami kecederaan.
Jelasnya, Nik Aqillah turut mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk menerima rawatan sebelum meninggal beberapa jam kemudian.
Manakala, dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia dipercayai adik beradik-patah tangan dan kaki selain luka di bahagian muka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










