Dua gol raikan penangguhan hukuman Guerrero - Utusan Malaysia

Dua gol raikan penangguhan hukuman Guerrero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SWITZERLAND 4 Jun – Penyerang Peru, Paolo Guerrero meraikan penangguhan hukuman penggantungan doping dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol membantu pasukannya menewaskan Arab Saudi 3-0 dalam aksi persahabatan, tiga hari selepas dia diberi kebenaran untuk membuat penampilan di pentas Piala Dunia buat pertama kali.

Kapten Peru itu menjaringkan gol kedua dan ketiga perlawanan selepas Andre Carrillo membuka tirai jaringan menerusi rembatan voli dalam perlawanan yang berlangsung di Saint Gallen.

Perlawanan tersebut disaksikan kira-kira 18,000 penonton dengan sebahagian besarnya dipenuhi penyokong Peru yang datang dari negara jiran selepas berasa teruja untuk menyaksikan skuad kebangsaan negara mereka beraksi dalam Piala Dunia buat pertama kali selepas 36 tahun.

“Saya sangat gembira apabila dapat kembali beraksi dan menjaringkan dua gol namun kami perlu kekal fokus dan tiada sesiapa boleh merampasnya. Kami bermain dengan baik dan kami perlu kekal bersatu,” kata Guerrero.

Peru bakal menghadapi Denmark, Perancis dan Australia dalam aksi kumpulan melebarkan rekod kemenangan mereka selepas 14 perlawanan.

Itu merupakan penampilan pertama Guerrero bersama Peru sejak kelayakan Piala Dunia di Argentina pada Oktober lalu selepas didapati positif kokain, berpunca daripada teh yang diminumnya di mana pemain berusia 34 tahun itu mendakwa dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Guerrero dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum dikurangkan enam bulan selepas mengemukakan rayuan.

Hukuman itu menamatkan impiannya beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama selepas penggantungannya ditingkatkan kepada 14 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, Tribunal Persekutuan Switzerland bersetuju menangguhkan hukumannya dan dia boleh beraksi di Rusia.

“Detik yang cukup emosi untuk dirinya, rakan separukan dan semua penyokong termasuk keluarganya dan saya turut tumpang gembira,” kata jurulatih Peru, Ricardo Gareca. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN