KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak dan bekas Pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah serta bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran kira-kira RM15 juta pada Mac dua tahun lalu.
Hakim Madihah Harullah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi daripada pihak pembelaan untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan yang dihantar kepada jabatan itu pada 1 Jun lalu.
Berikutan keputusan representasi tersebut, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan yang dikemukakan ke atas kedua-dua tertuduh.
“Justeru, mahkamah dengan ini membebas dan melepaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan ini. Pada masa sama wang ikat jamin (RM400,000) dan pasport diserahkan kembali kepada mereka,” ujar Madihah.










