BARU-BARU ini heboh di media sosial isu beberapa artis tempatan yang mencetuskan kontroversi kerana menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. Isu-isu berkenaan hebat dikecam dan dikritik para netizen. Ramai pula yang cuba menjadi ustaz atau ustazah ‘mi segera’ kononnya atas dasar ingin menasihati. Walaupun cetek dalam bidang agama, mereka cuba berlagak pandai.
Demi merungkai kemelut itu agar tidak berpanjangan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri antara tokoh agama yang tampil di media-media sosial bagi meredakan tekanan yang berlaku. ‘Campur tangan’ beliau itu mendapat pujian pelbagai pihak kerana seorang yang bertaraf mufti sanggup mengambil peranan yang sepatutnya hanya dikendalikan oleh pendakwah biasa.
Dr. Zulkifli, antara mufti terawal bergerak aktif berdakwah di media-media sosial. Beliau dikenali melalui penulisan surat-surat terbuka untuk membuat teguran kepada pihak-pihak tertentu secara berhikmah dan penuh bijaksana tanpa mudah menjatuhkan hukum. Disebabkan itu, popularitinya di media sosial mencanak naik. Tidak keterlaluan jika dianggap sebagai mufti instafamous.
Tidak mahu dikenali hanya sebagai jaguh kampung, beliau mahu lebih mendekati masyarakat terutama anak-anak muda menerusi platform itu. Beliau percaya pendekatan itu sepatutnya digunakannya secara meluas dengan mengambil kira keghairahan generasi muda hari ini berinteraksi secara online.
Kebanyakan mereka tidak lagi gemar mendengar ceramah di masjid atau surau. Apatah lagi mengikuti majlis-majlis agama. Oleh itu, cara berdakwah masa kini perlu berubah. Golongan agamawan tidak lagi sekadar menanti masyarakat datang bertemu mereka, sebaliknya mereka perlu pergi mendampingi masyarakat.
Sejak empat tahun memegang jawatan sebagai mufti, tokoh berusia 49 tahun itu memiliki akaun Facebook menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan dan Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri masing-masing mempunyai 266,000 dan 231,000 pengikut. Akaun Instagram @dr.zulkifli.albakri pula memiliki 199,000 pengikut.
Ini belum termasuk laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memaparkan pelbagai jawapan membabitkan persoalan agama yang kini telah mencapai 9.8 juta pengunjung. Kerja-kerja dakwah disampaikan secara santai dan mudah difahami, ringkas dan padat supaya dapat melekat di hati orang Islam.
Bagi beliau, tidak ada istilah seorang mufti itu sukar didekati. Tiada jarak yang memisahkan antara golongan itu dengan masyarakat walaupun dipandang martabatnya terlalu tinggi. Bersandarkan kepada karakter seseorang yang digabungkan dengan pengalaman dan tuntutan keadaan semasa, ia adalah elemen yang mengubah watak masing-masing. Atas dasar itulah Dr. Zulkifli merubah wataknya demi mendekati masyarakat.
“Saya melihat bagaimana tokoh ulama hebat dunia seperti di Mekah, Madinah atau Jordan. Mereka dikelilingi ramai murid. Jadi saya rasa ia adalah satu pendekatan cukup baik lebih-lebih lagi apabila kita menggunakan fatwa untuk menyebarkan ilmu dakwah, daripada kita didatangi dan dikunjungi, kita juga mahu datang kepada mereka.
“Melalui cara itu, hasilnya kita nampak bahawasanya skop bidang dakwah bukan hanya menumpu kepada satu juzuk kelompok masyarakat sahaja, tetapi melangkaui juzuk terpencil yang dianggap tidak bersih dalam masyarakat atau dipandang sedikit hina. Kita cuba santuni mereka, sebab itu kita pergi bertemu golongan LGBT, kita memberi ceramah dan kita ajak mereka solat jemaah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Melibatkan diri dalam media sosial, sudah tentu tidak boleh lari daripada dikritik dan dikecam secara terbuka oleh para netizen. Namun, Bagi Dr. Zulkifli, ia bergantung kepada cara penulisan masing-masing. Jika digunakan secara berhikmah, menjaga tata susila, adab dan tabayyun dengan mengupas sesuatu isu itu mengikut fakta, saranan dan buah fikiran yang baik, sudah tentu ia boleh diterima masyarakat. Natijahnya, kecaman yang diterima hanya satu atau dua peratus.
Cara dan mekanisme itulah diguna pakai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menjawab semua persoalan berkaitan isu-isu agama yang dikemukakan melalui media-media sosial, telefon, e-mel, blog serta ‘klinik hukum’ yang ditanya orang ramai pada setiap hari Jumaat di masjid-masjid terpilih.
Sehingga kini lebih 2,000 soalan telah dijawab dan 1,700 daripadanya telah pun dibukukan dalam Irsyad Fatwa. Setiap soalan diproses dan ditapis oleh kumpulan pakar-pakar agama serta dikategorikan mengikut topik. Kesemua persoalan dan jawapan turut boleh diakses melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di http://muftiwp.gov.my.
Bagi Dr. Zulkifli, untuk menegur seseorang yang berkelakukan tidak baik dan kembali kepada ajaran Islam sebenar perlu ada caranya. Lebih-lebih lagi golongan ‘instafamous’ yang gemar membuat pengakuan secara terbuka di media sosial apabila melakukan perbuatan dilarang agama.
“Contohnya apabila kita tengok orang tidak solat sedangkan dia orang Islam, kita perlu lihat dahulu sama ada nak menasihatinya atas pandangan sebagai seorang hakim atau mufti, atau kita nak pakai pandangan sebagai pendakwah baik. Bagi saya yang terbaik adalah menggabungkan dua perkara ini,” ujarnya.
Dr. Zulkifli mahu mufti dilihat ada peranan dalam masyarakat. Tanpa menafikan perlu ada kerjasama dengan semua badan-badan agama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Hampir 97 peratus masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Wilayah Persekutuan telah pun didampinginya. Beliau mahu tiada jarak terbina antara seorang mufti dengan masyarakat, sebaliknya menjadi magnet antara masyarakat Islam agar agama diangkat martabatnya dan disanjung tinggi.











