TANGAN lelaki itu mengetuk perlahan kereta mainan yang diletakkan di atas para kayu di luar rumahnya.
Kereta mainan berwarna biru yang baru dibeli itu diketuk bagi mendapatkan bentuk yang dikehendakinya. Ia perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak rosak, patah atau tercabut.
Usai siap hasil kerja diorama berkenaan, Eddie Putera Nordin, 50, perlu melakukan sesi pembungkusan pula.
Membungkus diorama yang dipenuhi miniatur kecil memerlukan kepakaran dan ketelitian mendalam.
Harga untuk pembungkusan dan penghantaran sahaja boleh mencecah AS$150 (RM600) atau lebih bergantung pada lokasi.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membungkus diorama yang ditempah pelanggan antaranya dengan memaku keempat-empat penjuru kotak bagi memastikan ia tidak mudah bergerak.
“Selain itu, saya juga akan memasukkan beg berisi angin di celah-celah ruang kosong supaya diorama tidak mudah patah dan bagi mengelakkan diorama rosak akibat dibaling atau dipijak pula, saya akan apitkan bahagian atas dan bawah dengan kayu nipis (playwood),” ujar pembuat diorama berpengalaman itu.
Kata Eddie, hasil seni tangannya itu pernah terbang berpuluh ribu kilometer dan Sweden merupakan negara yang paling jauh pernah dihantarnya.
Terang Eddie yang memiliki Ijazah Seni Bina dari Universiti East London, Britain, kebanyakan pelanggannya adalah dari luar negara. Antara negara yang popular ialah Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
“Di AS, masyarakatnya gemar menempah diorama daripada kereta-kereta lama, manakala di Britain pula mereka lebih banyak memilih rekaan berkaitan kenangan silam.
“Secara keseluruhan, 80 peratus pelanggan saya terdiri daripada mereka yang tinggal di luar negara, manakala hanya lima ke enam orang penduduk negara ini yang menempah diorama saya,” ujarnya.
Walaupun harga diorama agak mahal, namun ia tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Diorama adalah model tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi yang sebenar. Diorama biasanya dipamerkan di dalam muzium untuk menceritakan peristiwa-peristiwa sejarah atau tujuan pendidikan.
Tersendiri
Selain itu, diorama juga disimpan sebagai koleksi seni di dalam rumah. Diorama terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan tahap ketelitian. Diorama biasanya dibina di atas tapak khas yang dipanggil tapak diorama.
Perkataan diorama berasal dari Perancis pada tahun 1823 dan ia membawa bermaksud melalui pandangan.
Diorama pertama dicipta oleh Daguerre dan Charles Marie Bouton. Ia pertama kali dipamerkan di London pada 29 September 1823.
Bagi Eddie yang sudah empat tahun berkecimpung dalam seni pembuatan diorama, dia menghasilkan karya berkenaan bagi mengembalikan nostalgia lama yang agak sukar didapati pada masa kini.
“Setiap diorama yang dihasilkan mempunyai cerita yang tersendiri. Contoh ada seorang pelanggan saya menempah rekaan rumah lama yang didiaminya ketika kecil. Diorama itu ditempah untuk dijadikan hadiah hari jadi bapanya yang ke-86.
“Melalui nostalgia berkenaan, saya membina rumah termasuk kereta bapa mereka yang diimport dari Itali, basikal ibu dan anjing peliharaan. Sebaik bapa mereka melihat rumah tersebut, dia menangis terharu,” katanya sambil menunjukkan video rakaman berkenaan.
Momen-momen seperti itulah yang membuatkan Eddie berasa puas hati walaupun terpaksa bersengkang mata sehingga lewat pagi untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
Selain itu, ada juga peminat Iron Man dari Switzerland yang menempah diorama adiwira berkenaan terdampar di lautan.
Tempahan-tempahan seperti itu biasanya memerlukan imaginasi tinggi bagi mendapatkan gambaran sebenar supaya ia dapat dihasilkan sama atau paling hampir dengan apa yang dibayangkan pelanggan.
Kadangkala, Eddie terpaksa mengambil masa agak lama untuk menyiapkan sebuah diorama kerana ingin menelaah sejarah, geografi dan budaya pada masa dahulu.
“Bayangkan, jika seseorang itu mahukan kenangan menaiki kereta bersama isteri pada tahun 1980-an, saya perlu mendapatkan model kereta mainan terlebih dahulu dan mengecatnya agar nampak usang supaya ia sesuai dengan peredaran masa.
“Mahu mengecat kereta juga memerlukan ilmu. Misalnya, saya perlu tahu pada bahagian mana kereta akan bertukar menjadi karat dan untuk mendapatkan hasil itu adakalanya ia memakan masa sehingga berminggu lamanya,” katanya yang akan memberikan tempoh dua hingga empat bulan kepada pelanggan yang membuat tempahan diorama.
Rujukan
Tambahnya, kenderaan seperti motosikal, jip dan kereta yang digunakan juga perlu dibeli dari luar negara menerusi laman web atau kenalan jika sukar didapati di negara ini. Harga untuk kereta mainan tersebut boleh mencecah RM150 hingga RM300 sebuah.
Mendengar apa yang diceritakan lelaki bertubuh sederhana itu, kerja-kerja menghasilkan diorama memerlukan minat dan kesabaran tinggi.
Eddie memberitahu, proses yang paling sukar untuk dilakukan adalah semasa ingin mewarnakan setiap miniatur kerana selain ia terlalu kecil, setiap satunya perlu diwarnakan mengikut warna sebenar.
“Mewarna adalah proses paling sukar. Misalnya, jika mahu mewarnakan buih pada kapal tenggelam, saya perlu dapatkan warna yang sama supaya ia kelihatan sebenar.
“Namun, proses yang sukar itulah yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukannya dan saya tidak pernah berputus asa. Mungkin sebab saya sendiri minat melukis dan mewarna,” jelasnya yang mempunyai studio sendiri yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Bahan-bahan yang digunakan juga merupakan elemen penting dalam pembuatan diorama supaya ia nampak seperti keadaan sebenar.
Antara bahan yang digunakan adalah kotak, papan, kadbod, kertas, plastik, tali, bahan pewarna akrilik, gam dan pelbagai lagi.
Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu menambah, dia mendapat ilham untuk melakukan kerja berkenaan selepas berasa tidak puas dengan dunia seni lukisan.
“Saya suka bercerita melalui lukisan tetapi apabila sudah terlalu lama dalam bidang ini saya berasa bosan dan tidak puas. Saya tidak dapat mengekspresikan apa yang ada dalam jiwa ini secara keseluruhannya.
“Jadi, saya cuba membina diorama 3D ini. Daripada satu subjek seperti kereta, saya kembangkan dengan memasukkan persekitaran seperti latar belakang pemandangan dengan meletakkan pokok, jalan raya, patung, batu-batuan dan banyak lagi.
“Lama-kelamaan saya seperti membina sebuah kehidupan yang lengkap dengan jalan ceritanya,” terang Eddie.
Selain memberi kepuasan mendalam, Eddie turut memaklumkan dengan adanya diorama sedemikian ia dapat menjadi rujukan kepada generasi akan datang.
Kini, dia dalam proses menyiapkan diorama terbaharunya iaitu bangunan rumah kedai lama di Pulau Pinang.
Setiap bangunan itu memiliki ciri, bentuk dan rupa yang berlainan bergantung pada setiap peredaran zaman yang memerlukannya melakukan kajian mendalam.
Selain melukis, Eddie juga merupakan seorang jurufoto. Pada usia mudanya, Eddie sudah mengembara ke seluruh dunia untuk merakamkan momen-momen indah.
Sudah empat tahun Eddie Putera berkecimpung dalam seni pembuatan diorama, dia menghasilkan karya berkenaan bagi mengembalikan nostalgia pelanggan yang agak sukar didapati pada masa kini.
Sejak empat tahun lalu, Eddie Putera Nordin menghasilkan diorama iaitu model tiga dimensi yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi sebenar.











