Dechamps puji kematangan Mbappe - Utusan Malaysia

Dechamps puji kematangan Mbappe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEKATERINBURG, Rusia 22 Jun – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memuji kematangan yang ditunjukkan Kylian Mbappe selepas penyerang muda berusia 19 tahun itu menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Peru 1-0 pada aksi kedua Kumpulan C awal hari ini.

Katanya, jaringan penting Mbappe pada minit ke-34 itu termasuk membantu barisan pertahanan telah membolehkan Perancis mara yang pertama dari kumpulan tersebut ke pusingan kedua walaupun ada berbaki satu perlawanan lagi selepas ini.

“Dia mempunyai kualiti yang hebat dan berjaya memanfaatkan kepantasannya hari ini. Saya tidak fikir dia terpaksa mengorbankan kudratnya untuk bertahan juga. Dia melakukan apa yang diperlukan oleh pasukan.

“Saya sangat gembira dengan persembahannya hari ini.Seorang penyerang sepertinya bukan sahaja mencari gol tetapi membantu pasukan menjadi lebih kompak termasuk merampas bola,” kata pengendali Perancis itu.

Pemain tengah, Blaise Matuidi yang masuk sebagai pemain gantian pula berkata, Perancis bermain baik terutama dalam menyerap tekanan dan asakan Peru yang mendapat sokongan kuat daripada penyokongnya.

“Pasukan lawan melakukan perkara sewajarnya untuk menyukarkan kami. Mereka bermain seperti di laman sendiri. Walaupun begitu. kami tetap ampuh bertahan,” katanya.

Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Perancis mengumpul enam mata penuh manakala Denmark dan Australia yang seri masih berpeluang untuk merebut satu slot lagi ke pusingan kedua ketika Peru sudah pun boleh tutup buku.

Denmark hanya perlu seri dengan Perancis pada aksi terakhir peringkat kumpulan namun Deschamps memberi amaran dia lebih suka untuk muncul juara kumpulan.

“Kami cuba untuk menang. Kami tidak fikir untuk berada di tangga kedua kumpulan. Ini akan diputuskan dalam perlawanan ketiga itu nanti,” tegasnya. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN