VILAREAL 4 Jun – Walaupun Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan namun gara-gara kesilapan penjaga gol, David de Gea telah menyebabkan skuad La Roja itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Switzerland dalam aksi persahabatan di laman sendiri, semalam.
Pertahanan kanan Real Sociedad, Alvaro Odriozola menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa menerusi sepakan voli sekali gus meletakkan juara dunia 2010 itu di depan pada minit ke-29 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium La Ceramica.
Pertahanan Switzerland, Ricardo Rodriguez menafikan kelebihan itu apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-62 selepas De Gea gagal menangkap dengan kemas percubaan Stephan Lichtsteiner.
“Banyak perkara kami melakukannya dengan baik walaupun kami tidak memanfaatkan peluang yang ada namun hakikatnya kami beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi dan Switzerland bukan lawan yang mudah.
“Saya yakin untuk aksi serterusnya kami boleh menyempurnakan separuh peluang yang kami ada. Saya gembira kami mencipta banyak peluang manakala lawan sukar melakukannya ke atas kami,” kata jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui. – REUTERS











