AMMAN 24 Jun – Pemimpin pembangkang Britain, Jeremy Corbyn mengutuk keputusan Amerika Syarikat (AS) yang mengurangkan separuh daripada pembiayaannya kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
Malah, menurut laporan oleh portal al-Jazeera, Corbyn turut menggesa Israel menghentikan pencerobohan terhadap wilayah Palestin.
“Saya berpendapat keputusan untuk memindahkan kedutaan AS di Baitulmuqaddis adalah kesilapan besar, dan saya fikir keputusan menghentikan pembiayaan UNRWA juga satu kesilapan besar.
“Saya tidak tahu apa rancangan Presiden AS, Donald Trump, tetapi apa yang saya pasti, hak penduduk Palestin perlu dipenuhi. Itu termasuk menamatkan pencerobohan, dasar penempatan haram serta memberikan hak untuk mereka pulang ke tanah air,” kata Corbyn ketika temu bual bersama al-Jazeera.
Corbyn kini dalam lawatan rasminya ke Jordan sempena Hari Pelarian Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal minggu ini.
Sewaktu di Jordan, Corbyn melawat dua kem pelarian terbesar iaitu al-Zaatari untuk rakyat Syria dan al-Baqa bagi warga Palestin.
Corbyn memuji kemudahan yang disediakan di kem pelarian al-Zaatari tetapi beliau menegaskan masalah utama kini adalah dana untuk membayar pekerja serta pembangunan infrastruktur.
“Britain telah memberikan sejumlah dana yang besar bagi membantu pelarian Syria dan saya berpendapat kita patut menyalurkan lebih banyak dana untuk menyokong usaha UNRWA pada yang sama,” tambahnya.










